Showing posts with label santai. Show all posts
Showing posts with label santai. Show all posts

Wednesday, September 2, 2009

Sedikit pekongsian

perjuangan perlu diteruskan

Alhamdulillah. Tiada kata yang mampu saya ucapkan selain ucapan kesyukuran pada Allah kerana masih memilih saya dan yang lain mengecapi nikmat terbesar Iman dan Islam. Jika ditanya adakah ikhlas saya mengucapkan kata syukur pada yang Esa? sudah tentu saya sendiri tiada skala ukur untuk itu. Kerana apa? Ungkapan mahupun perasaan iklhlas itu sangat halus dan seni. Hanya Allah yang layak menafsirkannya. Jika ada yang mengatakan saya berpura-pura ikhlas, mahupun saya berpura-pura baik, saya redha dan terima dengan lapang dada. Kerana apa? Saya tidak mampu dan tidak bisa menangkis pandangan manusia kerana saya sangat jelas pandangan manusia itu amat berbeza dengan nilaian Allah. Pernah seorang guru menasihati saya dikala saya berbincang dan bersembang dengannya. Katanya:

" Ti, hang buat la apa yang hang rasa benar. Hang jangan takut. Hang kena berani. Bagi pendapat dan bersuaralah. Jangan risau. Rezeki kita ni hak Allah. Hang teruskan, janji apa yang hang buat tu tidak lari dari yang sepatutnya"

Kata-kata itu terkadang selalu bermain dibenak fikiran saya. Betul katanya. Keberanian itu perlu selagi kita rasa betul dan tidak melanggari hukum Islam. Yang penting kita kena jelas dan tahu penderian kita dan thaqafah perlulah ada dan dipertingkatkan yang mana ianya perlu disulami dengan kefahaman yang jelas.

Sudah lama, dan terlalu lama tidak mengupdate blog sendiri. Bukan sahaja tidak mengupdate malah menjenguk pun jarang sekali lantaran masa yang berjalan terlalu pantas.

RAMADHAN KAREEM

Sebak terasa bila mengungkap perkataan Ramadhan. Inilah Ramadhan terakhir saya di UPSI. Mungkin juga Ramadhan terakhir dalam hidup saya. Mungkin selepas ini saya akan pergi tidak akan kembali lagi. Tidak terlambat saya ucapkan Ramadhan Kareem pada semua. Moga bulan yang penuh barakah ini bisa menambatkan hati kita dan menautkan hati kita dengan Sang Pencipta dengan lebih dekat lagi. Ramadhan kali ini menuntut saya mengorbankan banyak hal dan perkara. Namun penawarnya sabar. Benar Ramadhan kali ini mengajar saya untuk lebih bersabar dan tidak merungut. Malunya saya jika saya merungut kerana saya masih lagi diberi peluang untuk menjadi tetamu Ramadhan kai ini. Menguruskan program penghayatan Ramadhan di Bitarasiswa denga rakan setugas, Saudara Akmal B Madzir memberi pengalaman yang baru. Penat memang penat namun itulah kenangan dan pengalaman yang mengajar saya lebih matang. Kepenatan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan. Malah, saya puas bila melihat pancaran kegembiraan mahasiswa-mahasiswa beriftar bersama-sama. Ini salah satu medium merapatkan ukhwah para Mahasiswa UPSI. Terima kasih saudara Akmal dan sahabat-sahabat lain atas kerjasama dan semangat kalian. Moga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa menjadi milik kalian semua. Harapan saya, Ramadhan kali ini menjadi satu catalyst untuk kita membaiki diri kita dan moga kita akan diberi peluang lagi untuk bertemu bulan yang barakah ini. Dan sama-sama kita doakan kita dapat bertemu Laitatul Qadar.

KEMERDEKAAN

Ketentuan Allah, hari kemerdekaan jatuh dalam bulan Ramadhan. Laungan kemerdekaan sudah tentu menusuk jiwa setiap warga Malaysia. Ya, 52 tahun kita merdeka. Dan ini merupakan umur ibu saya ( sangat merindui beliau). Namun, ingin saya lontarkan adakah kita benar-benar merdeka secara totalnya? Bukan sahaja penjajahan yang fizikal tetapi bebas dari penjajahan minda? Adakah minda kita sepenuhnya merdeka? Merdeka pada hemat saya bila mana kita mampu membina acuan sendiri tanpa mengimplimentasikan acuan orang lain. Kita boleh menjadikan orang lain sebagai contoh, namun sesuatu itu perlu dibina melalui kosong sehingga ianya berkembang kukuh mengikut acuan dan idealisma kita. Dan sudah tentu pengalaman orang lain kita boleh jadikan guide. Itu tidak salah. Saya sedih melihat jiwa-jiwa remaja pada hari ini yang konon-kononnya bebas merdeka. "Em, bebas sungguh dia". Sehinggakan perkataan "globalisasi" itu di global kan sepenuhnya. Memang tiada sempadan langsung. Lelaki boleh memasuki bilik/rumah perempuan sesuka hati. Alasan? Adakah kerana kita bebas merdeka? Atau dunia tanpa sempadan? Jika sudah sampai seru, rasa layak nak bina rumahtangga, tidak perlu tunggu. Langsungkan walimah. Jika alasan masih belajar, tiada berduit. Jawapan saya mudah. Tidak perlu majlis besar-besaran. Hebahan yang penting bukan kegahan majlis. Buat sekadar termampu. Yang penting akad. Bak kata mak saya, kita ni orang susah, jadi buat cara orang susah. Jika alasan keluarga tidak benarkan. Jawapan saya bincang baik-baik. Mak Ayah pasti terima kalau cara kita betul. Bak kata mak saya, kahwin itu lebih penting dari buat kerja tidak tentu hala. Jika kata belum bersedia. Jawapan saya lagi senang, tak payah fikir. Habis cerita. Ini baru menyenuh batasan-batasan pergaulan. Namun harapan saya, sama-sama kita sedar akan erti sebuah kemerdekaan.

KAMPUNG

Kerinduan di kampung hanya Allah yang tahu. Kadang-kadang sengaja tidak menelefon ayah/mak. Pernah satu malam, selepas terawih sambil mengemas tempat makan di bitara siswa, saya menelefon ke kampung. Ayat pertama mak:
"Allahuakbar, panjang umur ja. Ayah baru sebut-sebut nama ja tadi"
Istighfar saya. Bukan apa, kata-kata mak itu doa bagi saya. Mak mendoakan saya panjang umur. Biarlah panjangnya umur saya disulami ketaatan pada Allah. Bukannya panjangnya umur dipenuhi dosa dan maksiat. Benar, jika hebat bagaimana pun kita perlu sedar kita lahir dari rahim seorang ibu. Ibu adalah tempat dimana boleh menyejukkan mana-mana hati dan menenangkan mana-mana jiwa. Pesanan buat kaum hawa, jika anda mempunyai suami kelak jangan sesekali halang suami anda untuk pulang menjenguk ibunya. Ibu merupakan insan yang patutnya yang pertama dalam hati suami bukan isteri. Hanya seorang ibu mampu melembutkan hati anaknya, bukan seorang isteri. Itu pendapat saya. Lahirnya seorang pemimpin yang hebat sekalipun dari rahim seorang ibu.

BICARA WANITA

Sedar tidak sedar, minggu ini merupakan kali ke-6 Bicara Wanita anjuran Pusat Islam dan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah berlangsung. Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan. Sungguh Mahasiswi UPSI sudah mula sedar akan kepentingan ilmu. Sudah 5 topik sudah di sentuh dan dikupas oleh penceramah yang berlainan. Antara topik yang telah disentuh ialah pengurusan rumahtagga, tafsir, aqidah, feqah dan undang-undang keluarga Islam (pertunangan). InsyaAllah minggu ini akan disentuh mengenai undang-undang keluarga Islam sii ke-2 (perkahwinan). Pernah seorang teman saya berkata yang pengisian yang dibuat lebih mendalam dari kursus kahwin. Ya itu yang saya mahukan. Saya tidak menyeru mana-mana kaum hawa untuk segera bekahwin, tapi jika itu tindakannya Alhamdulillah. Cuma saya menyeru setiap kaum wanita prepare untuk menghadapi apa jua keadaan sekalipun. Cuma saya nak setiap kaum wanita itu mengisi dada mereka dengan ilmu. Bukan sahaja mengenai rumahtangga, malah lebih dari itu. Kaum wanita kena sedar, persediaan perlu dibuat awal. Jika boleh, sebaiknya sebelum mempunyai calon lagi. Dan melalui program ini, saya sentiasa meminta penceramah menyelitkan isu semasa supaya kaum wanita itu alert dan sentiasa menamkan dalam jiwanya satu perasaan ingin tahu dan cintakan ilmu. Kaum wanita juga perlu tahu yang kita adalah orang kedua yang akan mentadbir keluarga dikala pemimpin keluarga tiada di rumah. Segala-galanya kita perlu tahu dari segi ibadah, cara medidik anak-anak, cara membaca Al-Quran malah segala-galanya sebab anak-anak akan lebih rapat dengan ibunya. Jika seorang ibu itu pincang, maka hasilnya akan lahirnya pemimpin yang pincang. Anak-anak kita itu bakal menerajui negara kelak. Memang iman itu tidak dapat diwarisi, namun usaha itu perlu ada. Pernah seorang kawan memarahi saya kerana tidak lagi mengamil kursus kahwin. Katanya, ambil kursus tidak semestinya nak berkahwin. Itu ilmu. Saya setuju pandangan itu. Namun bagi saya ilmu boleh digarapkan dimana-mana sahaja. Jawapan saya pada sahabat saya mudah, saya tidak ada kesempatan masa lagi. Pada muslimat-muslimat yang sering bertanya saya bagaimana hendak medapat suami yang baik. Jawapan saya masih sama, banyakkan berdoa, penuhkan dada dengan ilmu dan yang penting jadilah orang yang sebaik mungkin sebab kamu pasti dapat orang selayaknya untuk kamu. Yang penting sama-samalah kita pasakkan apa sekalipun yang kita buat kerana Allah dan agamaNYA.

Wallahua'alam. Perkongsian yang panjang lebar saya kira. 22 tahun yang penuh dengan persoalan dan ujian. Namun, moga ketenangan dan redha Allah yang menjadi pendamping. Bagi saya dalam hidup ini perlu sesuaikan dengan keadaan. Hidup ini perlu sentiasa menjadi 'pemberi' yang terbaik. Jangan kita sentiasa mahu jadi 'penerima'. Sebab kenapa? Penerima akan kecewa jika tidak dapat apa yang diharapkan. Pemberi akan sentiasa puas apa yang diberikan, jika ada balasan itu dikira bonus yang akan menambahkan kegembiraan.

Sunday, July 19, 2009

Rindu yang menggamit..

Alhamdulillah sudah 2 minggu saya tinggal di rumah sewa. 2 minggu saya cuba sesuaikan diri berada disekitar Taman U ini. Alhamdulillah keadaan makin baik.Sungguh saya merindui kolej(KUO). Namun saya tidak menyesal memilih untuk hidup di luar kolej. Sebab saya nak cuba hidup berdikari.Mak, sudah tentu orang yang paling risau. Memang saya telah menjadi 'perantau' di negeri orang hampir 7 tahun. Namun saya tidak pernah merasa hidup berdikari seperti sekarang. Sebab itu mak risau. Tapi saya beritahu mak, saya nak cuba hidup di luar. Mak dan ayah akur. Mak dan ayah banyak mengalah dan merestui setiap keputusan saya sekarang memandangkan bagi mereka saya dah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri. Begitu juga abang-abang saya. Apa yang penting, sekurang-kurangnya setiap minggu saya wajib menelefon mereka.

Sungguh terlalu rindukan azan di surau KUO. Kat sini sepi, tiada sebarang surau yang terdekat yang boleh azan didengari. Kadang-kadang terasa hiba dan sebak sangat. Tadi sempat menghadiri majlis perasmian Rakan Penggerak Ad-Din di KUO. Lama saya di sana. Sempat berjamaah zohor di sana. Kadang-kadang kalau lapang saya akan kesana untuk berjamaah bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain.Memori surau itu cukup terpahat di hati. Di surau itulah, saya diumumkan sebagai Exco Kerohanian & Perpaduan oleh pengerusi Exco waktu itu ( sesi 2007/2008). Dan detik itu juga mengubah "daily life" saya di UPSI.

Kenangan bekerja bersama rakan exco amat saya rindui. Di sana juga saya dimarahi kakak bila 'nakal' dalam membuat tindakan. Namun semua itu menjadi satu kenangan indah walaupun selalu ditegur dan dimarahi. Disanalah adik-adik selalu berkunjung bertanyakan pelbagai soalan. Di sanalah saya belajar untuk bangun malam bersama-sama sahabat-sahabat lain untuk mendidik hati dan diri supaya lebih baik. Namun sekarang saya perlu berdikari. Itu pasti. Moga saya menjadi lebih kuat bila melaui proses kehidupan diluar. Jika saya tidak bermula disini, saya risau saya tidak mampu berdikari kelak. Abang-abang saya selalu menasihatkan saya untuk saya berdikari. Dan sekarang saya menyahut cabaran mereka.
Moga kenangan di sana terus mekar. Moga dakwah tetap dapat saya jalankan walau dimana saya berada.

Kenangan memberi pengisian untuk muslimat di KUO


Kenangan bersama rakan exco



Kenangan bersama JMK KUO 07/08



p/s: Makluman, rancangan Bicarasiswa pada 21 Julai 2009 di dewan SITC UPSI.
Panel NC UPSI, YDP MPMUM dan Presiden MPP UIAM. Saya tak dapat sertai sebab ada lab.

Wednesday, March 25, 2009

BELAJARLAH DARI ALAM

Alhamdulillah kesyukuran dipanjatkan, akhirnya setelah lama tidak menulis akhirnya dapat juga saya pausekan seketika daily activity saya sebagai mahasiswa untuk saya menulis entry ini. Teringat kata-kata seorang guru saya, katanya jika hari ini kita seorang yang hebat di alam muda, kita hebat di alam kampus, kitalah yang sentiasa bersemangat tapi kenapa kita tersungkur rebah sebaik sahaja melangkah keluar dari pintu alam kampus? Kemana perginya kehebatan itu? Kenapa kita makin lesu bersuara? Kenapa kita makin menghilangkan diri dari pentas khidmat diri pada agama dan masyarakat? Jawapannya ada pada diri kita. Namun kata-kata itu sentiasa bermain dibenak fikiran saya. Adakah saya salah seorang dikalangan itu kelak? Guru saya berkata, kita perlu ingat bila kita melakukan sesuatu janganlah terlalu mendesak dan ekstrim sehingga pada satu masa kita menafikan hak kebajikan diri kita. Ya , kita perlu ingat diri kita ada haknya. Bila mana kita terlupa kebajikan diri itu yang menyebabkan kita lama-lama akan penat kerana kita tidak pernah sekali memberi ruang kepada diri sendiri untuk berdialog tentang kebajikannya. Hatta dalam ibadat sekalipun kita tidak boleh terlalu ekstrim tapi istiqamah itu lebih penting. Sebab itulah akhirnya kita akan melangkah keluar dari alam mahasiswa, kita akan hanya mampu melahirkan bait muslim bukan bait dakwah. Hidup kita hanya sekitar kerjaya, keluarga dan tanggungjawab harian tanpa satu usaha pun untuk kita sumbangkan pada masyarakat. Sekurang-kurangnya ada sedikit yang kita dapat sumbangkan kepada masyarakat sebagai penyambung dari alam mahasiswa dulu. Begitulah lebih kurang kata-katanya.Sungguh cantik susunan bait kata-kata guru saya.

Belajar dari alam. Mengapa kita perlu belajar dari alam yang tidak pernah bersuara?? Bodohlah kiranya kita belajar dari alam yang tidak ada apa-apa. Kita kan manusia. Ada akal untuk berfikir. Namun jangan kita lupa setiap ciptaan Allah itu ada tujuannya. Ya kita perlu belajar dari alam kerana ALAM TIDAK PERNAH MENIPU. Pernah kita lihat pokok kelapa tiba-tiba berbuah menjadi durian atau nangka?? Ia akan terjadi dengan izin Allah, namun secara logiknya tidak mungkin pokok kelapa mampu berbuahkan durian berbungakan kaktus. Begitu juga seekor nyamuk. Pernah kita lihat nyamuk melahirkan anak kerbau?? Alam tidak pernah menipu. Kita manusia yang selalu begitu. Belajar lah dari alam. Sungguh kita akan malu jika kita betul-betul menghayati ciptaan Allah yang lain kerana mereka amat hebat walaupun tidak ada akal seperti manusia.

Belajar lah dari pokok pisang. Kenapa pokok pisang tidak akan mati walaupun dia dicantas, di cincang batangnya. Percaya atau tidak, cantaslah batang pisang itu, namun tidak lama kemudian batang itu akan bertunas kembali. Cantaslah lagi batang pisang itu, namun ia tidak jua mati. Jika ia tidak mati lagi cabutlah pokok pisang itu dan buanglah jauh-jauh ke tanah yang lai. Namun keputusan tetap sama. Pokok pisang masih lagi hidup. Jika dengan mencantas kita tidak mampu mematikan pisang itu lagi, maka bakarlah pokok pisang itu. Ya ia akan mati namun, keputusannya amat memeranjatkan bila mana anak-anak kecil pokok pisang akan tumbuh dengan suburnya kerana induk pokok pisang yang kita bakar tadi akan menjadi baja kepada anak-anak tadi. Begitu kuat pokok pisang itu mempertahankan survival hidupnya. Induk pokok pisang akan mempertahankan hidupnya walaupun akhirnya dia akan terkorban asalkan benih yang dia tinggalkan akan membesar dengan subur. Cincanglah macamana pokok pisang itu, ia akan berusaha untuk terus pertahankan hayatnya kerana resam pokok pisang ia akan memperjuangkan hidupnya sehinggalah ia berjaya menghasilkan buah. Hayat pokok pisang akan berakhir bila mana dia berbuah sekali. Itu resam hidup yang bernama pokok pisang.
Belajarlah dari alam. Air lembut sruktur ni. Menghentam batu yang keras dengan penuh kelembutan namun akhirnya batu itu akan lekuk jua. Kerak nasi akan lembut akhirnya bila di rendam dengan air. Hebatnya air. Begitu bersabar dengan batu akhirnya, mengalah juga batu itu. Tegarnya air walupun dihalang oleh tempoh dan bata batu, ia tetap berusaha untuk menembusinya. Jika tidak percaya, cubalah check balik bata yang dijadikan tembok untuk menghalang air. Walaupun bata itu tidak pecah namun akhirnya bata itu akan menjadi lembab. Kenapa?? Sebab air dengan sabarnya sentiasa berusaha untu menembusi batu tersebut. Jika tidak berjaya untuk memecahkan bata tersebut, air itu akan berusaha menggunakan mekanisma lain untuk ke seberang sana. Ya, ia akan masuk ke dasar butiran-butiran tanah. Dan percaya atau tidak ia akan mengembara jauh ke dalam bumi dan akhirnya ia akan berjaya sampai ke destinasi sebagai mata air. Sabarnya air, akhirnya ia berjaya.

Belajarlah dari alam. Alhamdulillah Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09 telah berjaya melaksanakan seminar rawatan alternatif melalui kristal dan gelombang warna. Satu revolusi dalam bidang perubatan. Waktu yang dijadikan oleh Allah bukan saja-saja. Ada warna pada waktu. Belajarlah dari alam. Jom kita belajar frekuensi warna yang dihasilkan untuk setiap waktu dalam hidup kita.

12.01 am – 1.00 am :
alam akan keluarkan frekuensi warna putih. Masa yang sesuai untuk kita bangun bertahajjud.

1.00am- 2.00 am :
alam akan mengeluarkan frekuensi warna pink. Warna pink akan menghasilkan suasana romantik. Waktu kasih sayang
( tu ikut ilmu gelombang warna yang saya belajar. Jangan silap aplikasi ye)

2.00am – 4.00 am:
alam akan mengeluarkan frekuensi warna ungu. Warna ungu akan mengaktifkan sel-sel. Sesuai untuk belajar

4.00am – 7.00 am:
alam akan keluarkan frekuensi warna biru. Waktu yang sesuai untuk berzikir (bukan untuk tidur ye)

7.00am – 11.00 am :
alam akan keluarkan frekuensi warna hijau. Sesuai untuk bekerja.sesuai juga untuk waktu rawatan terutamanya sakit jantung/peparu.


11.00am- 2.00 pm :
alam keluarkan frekuensi warna kuning. Waktu berehat sebentar. Seperti tidur yang pendek.

2.00pm- maghrib :
frekuensi warna oren. Sesuai untuk beriadah. Jangan berkurung di dalam bilik waktu ini.


After maghrib- isyak:

alam akan mengeluarkan frekuansi warna merah. Waktu untuk berdiam dan elak dari keluar rumah. Seperti yang kita tahu, liang roma kita akan terbuka dengan bukaan yang besar waktu ini. Gelombang merah amat berbahaya. Jadi that’s why, its better to stay at home. The best things to do is berzikir atau baca AL-Quran.


9.00pm-12.00 pm:
frekuensi warna hitam. Ini adalah waktu terbaik untuk tidur. Tidurlah dalam keadaan yang bersih kerana tidur umpama mati kecil.

Cantiknya alam ciptaan Allah. Belajarlah dari alam. Sekadar perkongsian biasa dari saya insan biasa. Wallahua’alam.

Friday, January 23, 2009

YOU COMPLETE ME OR YOU COMPETE ME??


Alhamdulillah, dengan izin Allah sekali lagi terbitnya entry kali ini..sudah lama tidak menulis..dan sudah tentu agak kekok untuk saya susun ayat yang baik..Sebelum itu mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah untuk seluruh umat Islam yang telah kembali ke rahmatullah. Moga ditempatkan ditempat orang-orang yang beriman.Al-Fatihah..
Dan kita, yang masih lagi bernadi gunalah masa yang masih ada untuk melaksanakan tugas kita sebagai hambaNYA..

Sebenarnya sudah terlalu lama saya menulis artikel ni, cuma kekangan masa menyebabkan saya tidak sempat menyiapkan. Dalam kehidupan kita sudah tentu tidak semua perkara lengkap dan sempurna. Bagi saya cukup pelik jika kehidupan seseorang itu terlalu sempurna. Dalam kita berhubungan sudah tentu ada yang tidak kena dan tidak memuaskan hati. Itu saya pasti. Seorang ibu dan seorang anak pun sudah tentu kadang-kadang berlaku selisih faham. Begitu juga guru dan pelajar. Suami dan isteri. Rakan sejawatan. Sahabat baik. Pemimpin dengan rakyat. Semua itu saya pasti ada detik-detik sukar dalam kita berhubungan dan berkomunikasi. Pasti ada yang kurang. Pasti ada berbeza pendapat.Pasti ada bergaduh. Itu lumrah keran setiap insan adalah berbeza. Saya tidak faham jika ada orang yang semuanya sama.Adakah kehidupan dikelilingi orang-orang yang sama perangai akan membahagiakan kehidupan?? Ya sakit, amat sakit bila kita berbeza. Sahabat baik berbeza perangai. Rakan sejawatnya yang kadang-kadang tidak pernah mengalah. Pemimpin yang kadang-kadang tidak mahu berundur selangkah kebelakangan untuk melihat rakyatnya, rakyatnya yang sentiasa suka mengkritik. Itu memang normal.

Cumanya bagaimana kita hendak melengkapkan setiap perbezaan itu. Hidup akan bahagia jika kita belajar setiap perbezaan setiap orang. Jika kita ingin mendahului setiap perkara tanpa ingin menerima kehadiran perbezaan itu yang menimbulkan masalah. Saya pasti ia memang bermasalah. You complete me or you compete me?? Bercakap dengan teori memang mudah. Umpama menghafal teks. Hendak aplikasi dalam kehidupan harian yang sukar. Ingat saya satu artikel ustaz Hasrizal. Kenapa rumah tangga ustaz ustazah boleh berpecah. Kenapa usatz ustazah boleh bercerai. Kata masing-masing satu fikrah. Membawa matlamat yang sama. Masing satu kepala. Tapi kenapa perkara semacam itu berlaku dalam sebuah Baitul Dakwah?? Ini kerana kita lupa dan sering terlupa. Hakikatnya seorang ustaz itu pada asasnya tetap seorang lelaki dan ustazah itu tetap seorang wanita yang mana tetap mempunyai naluri yang sama dengan orang lain. Kehendak tetap sama. Cumanya bagaimana mereka melangsungkan kehidupan dan mencaturkan kehidupan itu. Tidak ada yang sempurna. Kita perlu belajar dari perbezaan itu. Percayalah menghargai dan meraikan perbezaan seseorang akan membuatkan kita senang , bahagia dan tenang. Memang proses untuk memahami perbezaan itu satu fasa yang sukar. Bayangkan seorang guru hendak memahami 40 orang pelajar yang berbeza dalam sebuah kelas. Berlapang dada dan bersabar itu yang memudahkan proses. Mungkin makan masa kita hendak menerima perbezaan itu. Mungkin 6 bulan baru kita akan kenal kawan kita. Itu bukan sepenuhnya. Kita akan lebih kenal dengan panjangnya masa. Saya percaya kata sepakat itu akan kita temui bila kita saling menghargai perbezaan masing-masing. Mungkin makan masa. Tidak mengapalah kerana suatu hari kita akan merasai kenikmatan saling melengkapi antara satu sama lain.

Wednesday, November 12, 2008

Cinta Yang Tragis


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang..



Alhamdulillah..

Selepas isyak tadi,sempat saya membaca beberapa emel yang dikirimkan oleh teman-teman saya. Salah satu artikel yang menarik minat saya ialah artikel yang bertajuk "CINTA YANG TRAGIS".


- Cinta Yang Tragis-

Saya pernah hadir dalam satu pengisisan yang diberikan oleh salah seorang pensyarah saya. Beliau membawa kisah mengenai A,B,C dan D. A merupakan seorang perempuan yang sangat cantik. Dia digilai oleh ramai lelaki. Akhirnya, A jatuh cinta kepada B dan mereka pun bertunang. Mereka dipisahkan oleh lautan kerana B tinggal di sebuah pulau yang begitu jauh. Namun lautan tidak sesekali mampu memisahkan mereka kerana rasa cinta yang saling berputik di dalam nurani hati mereka.

Pada suatu hari, takdir Allah menentukan bahawa B jatuh sakit. B menghidap satu penyakit yang begitu kronik. A berasa sangat sedih. A ingin bertemu dengan B. Rasa cinta yang begitu menggunung menyebabkan A menebalkan muka bertemu dengan C kerana C sahaja yang memiliki bot. A merayu kepada C untuk meminjamkannya bot tersebut agar dia dapat bertemu dengan B.

C pula meletakkan syarat. A perlu tidur dan bermalam dengan C. Kerana rasa cinta yang begitu tinggi kepada B, A sanggup tidur bersama C. Maka keesokan harinya, A pun merentasi lautan untuk bertemu dengan kekasihnya, B. A menceritakan segala-galanya kepada B dan akhirnya B memutuskan hubungan mereka. A pulang dalam keadaan sedih dan bertemu dengan D. A menceritakan kisahnya dari mula kepada D. D bersimpati dengan A dan akhirnya berkahwin dengan A. Inilah pengakhiran sebuah kisah cinta yang tragis.

Lantas pensyarah saya menanyakan kepada kami, apa pendapat kalian mengenai A, B, C dan D? Maka bermulalah sesi kutuk-mengutuk A, B,C dan D. A dikatakan perempuan murahan, gedik, bodoh dan lain-lain lagi. B pula dikatakan zalim, tidak memahami hati wanita dan seterusnya. C pula dikatakan mengambil kesempatan, menindas wanita dan lain-lain. D yang begitu baik kerana melakukan pengorbanan pun dikatakan sebagai dayus.

Kemudian, pensyarah kami pun menceritakan perkara tersirat di sebalik kisah tersebut. C rupa-rupanya merupakan seorang wanita tua dan A sebenarnya bermalam dan tidur dengan wanita tua tersebut. Dan B pula tidak mahu mengahwini A kerana dia hanya akan hidup di dunia buat beberapa hari sahaja lagi dan dia
tidak mahu menzalimi dan menghancurkan masa depan A dengan hanya mengahwininya buat beberapa hari. D pula sememangnya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan hanya bersimpati dengan nasib A.

Akhirnya kami sedar bahawa kami telah berprasangka buruk dengan A, B, C, dan D. Sama halnya kita. Kita slalu meluahkan komen dan pendapat kita tanpa mengetahui keadaan dan sitausi yang sebenar..


Begitulah kisah " Cinta yang tragis". Bukan perkara cinta yang menjadi pokok kupasan saya tetapi bagaimana sikap kita pada hari ini yang selalu bersangka buruk. Kita tidak pernah kenal si A namun kita secara membuta tuli menuduh dia yang bukan-bukan kerana khabar angin yang kita dapat. Begitu sebarang isu yang berlaku di kampus atau skop yang lebih luas lagi di negara kita sendiri. Contohnya kita katakan imam Samudera sebagai pengganas, namun kita sendiri tidak pernah mendalami dan menyusuli cerita dan sejarah beliau. Kita hanya tahu dari mulut orang yang mana sumbernya belum tentu benar. Analogi lain yang paling dekat dengan kehidupan kita ialah belajar. Kita dengar orang kata hidup di universiti susah.Dah la banyak pakai duit, belajar pun susah..Tu kita dengar orang cakap, namun realiti jauh berbeza. Hanya diri kita yang mengalami yang tahu susah senangnya.


Renungkanlah sebelum menilai atau menghakimi sesuatu perkara..


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak membuat sangkaan buruk) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah DOSA dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Al Hujurat: 12)

p/s moga kita semua dapat sesuatu dari cerita ni.. Terima kasih kepada anak mithali kerana perkongsian artikel ini.

PUDING KASIH SAYANG

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang...


Semalam, 11 November 2008, sedang saya sibuk bersiap-siap untuk ke dewan peperiksaan datang seorang insan amat saya sayangi ke bilik saya. Kak Khairun Bariyah atau lebih mesra saya panggil kak Ba atau pun ummi Ba..


" Dik, abeh exam pukul brapo? kul 4.30 ko? erm kito tubik g Brilliant nok pah jaa abeh pekso(exam)? Kak nak beli bare (barang-barang) nak buat puding. Kak hajat nak wak puding sebelum kak tubik UPSI, nak bagi adik-adik make. Bulih ko?"


Lebih kurang macam tu lah ayat kak ba menyatakan hasratnya. Kak Ba merupakan students semester 7 dan akan keluar untuk berpraktikal di Terengganu katanya. Walaupun pada waktu itu fikiran saya berada di dewan exam, saya mengiyakan soalannya menyatakan saya setuju.


"InsyaAllah kak, tapi jaa balik solat asar dulu deh kakre", balasku ringkas.


Lepas selesai menunaikan solat asar, seperti saya janjikan saya dan kak Ba pergi membeli bahan-bahan untuk membuat puding. Hampir pukul 10.00 malam puding berkuah itu siap.
"Jaa...jaa," panggil Kak Ba.


Waktu itu saya berada dalam bilik sedang melayari internet

"Ye kak, gapo?" sahut saya seperti seorang anak.

" Jaa, jom kito g beli ais. puding berkuoh ni sedak klu make ado sejuk-sejuk" terang kak Ba.

Saya tidak membantah. Terus saya balik bersiap-siap untuk keluar walaupun waktu itu jam hampir pukul 11.00 malam. Bukan aku tidak penat dengan exam petang tadi, tetapi bila mengenangkan inilah detik-detik terakhir saya menghabiskan masa bersama kak Ba sebelum dia keluar, persaan penat itu terus hilang. Terlalu banyak yang saya belajar daripada kak Ba. Dia banyak mengajar saya menjadi muslimat yang tegar. Ukhwah yang terjalin berlandaskan aqidah ini pasti tidak saya lupakan. Doa saya moga kak Ba terus istiqamah dalam jalan Islam tidak kira di mana dia berada.

" Naka la adik ni," ni la kata-katanya yang dia akan lontarkan setiap kali ada sesuatu yang tidak kena saya buat.

Bait kata-kata ini takkan saya lupakan.. moga ukhwah ini kekal selama-lamanya.



"SELAMAT BERPRAKTIKUM UMMI KU SAYANG"


p/s : Kalau la kak ba tahu saya letak gambar dia nih, mati kena pancung..huhu..

DIMANAKAH DI KAU

Assalamualaikum



Buku kesayangan yang hilang


Siti Khadijah sayap kiri Rasulullah S.A.W..saya syorkan bacalah buku ni terutamanya kepada insan yang bergelar muslimat. Baru beberapa ketika saya memiliki buku ini, namun sekarang buku ni telah hilang. Puas saya mencari. Sesiapa yang terjumpa sila bagitahu ya..



p/s : bila la agaknya saya mampu beli buku ni lagi..kalau ada bagi hadiah best jugak(berangan)

Saturday, November 1, 2008

kekuatan akhirnya menjadi realiti

Assalamualaikum...

salam perkenalkan pada semua..Alhamdulillah dikala diri ini di ancam pelbagai serang saraf dari setiap posisi, akhirnya dengan izin Allah, dengan kekuatan yang Dia anugerah akhirnya saya mempunyai kekuatan untuk menjadikan blog peribadi saya ini sebagai satu realiti.
Hakikatnya, cukup sukar sebenarnya dikala saat akhir waktu berdetik di ambang final yang akan menjelang esok hari.
Perancangan yang cukup lama saya kira untuk membina blog ini, walaupun bukan lah sesuatu yang begitu sukar di zaman serba moden ini. Itulah perancangan manusia..kita merancang, namun perlu ingat Allah juga merancang.
Diharap blog ini dapat memberi manfaat kepada semua dan kita dapat berkongsi idea.
Selamat menempuh peperiksaan akhir terutamanya kepada semua warga UPSI...

p/s maaf atas bait susunan ayat yang tidak begitu tersusun dan menarik..tengah mencari kekuatan untuk menulis di kala diri dilimpahai dengan pelbagai ujian..