Friday, January 23, 2009

YOU COMPLETE ME OR YOU COMPETE ME??


Alhamdulillah, dengan izin Allah sekali lagi terbitnya entry kali ini..sudah lama tidak menulis..dan sudah tentu agak kekok untuk saya susun ayat yang baik..Sebelum itu mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah untuk seluruh umat Islam yang telah kembali ke rahmatullah. Moga ditempatkan ditempat orang-orang yang beriman.Al-Fatihah..
Dan kita, yang masih lagi bernadi gunalah masa yang masih ada untuk melaksanakan tugas kita sebagai hambaNYA..

Sebenarnya sudah terlalu lama saya menulis artikel ni, cuma kekangan masa menyebabkan saya tidak sempat menyiapkan. Dalam kehidupan kita sudah tentu tidak semua perkara lengkap dan sempurna. Bagi saya cukup pelik jika kehidupan seseorang itu terlalu sempurna. Dalam kita berhubungan sudah tentu ada yang tidak kena dan tidak memuaskan hati. Itu saya pasti. Seorang ibu dan seorang anak pun sudah tentu kadang-kadang berlaku selisih faham. Begitu juga guru dan pelajar. Suami dan isteri. Rakan sejawatan. Sahabat baik. Pemimpin dengan rakyat. Semua itu saya pasti ada detik-detik sukar dalam kita berhubungan dan berkomunikasi. Pasti ada yang kurang. Pasti ada berbeza pendapat.Pasti ada bergaduh. Itu lumrah keran setiap insan adalah berbeza. Saya tidak faham jika ada orang yang semuanya sama.Adakah kehidupan dikelilingi orang-orang yang sama perangai akan membahagiakan kehidupan?? Ya sakit, amat sakit bila kita berbeza. Sahabat baik berbeza perangai. Rakan sejawatnya yang kadang-kadang tidak pernah mengalah. Pemimpin yang kadang-kadang tidak mahu berundur selangkah kebelakangan untuk melihat rakyatnya, rakyatnya yang sentiasa suka mengkritik. Itu memang normal.

Cumanya bagaimana kita hendak melengkapkan setiap perbezaan itu. Hidup akan bahagia jika kita belajar setiap perbezaan setiap orang. Jika kita ingin mendahului setiap perkara tanpa ingin menerima kehadiran perbezaan itu yang menimbulkan masalah. Saya pasti ia memang bermasalah. You complete me or you compete me?? Bercakap dengan teori memang mudah. Umpama menghafal teks. Hendak aplikasi dalam kehidupan harian yang sukar. Ingat saya satu artikel ustaz Hasrizal. Kenapa rumah tangga ustaz ustazah boleh berpecah. Kenapa usatz ustazah boleh bercerai. Kata masing-masing satu fikrah. Membawa matlamat yang sama. Masing satu kepala. Tapi kenapa perkara semacam itu berlaku dalam sebuah Baitul Dakwah?? Ini kerana kita lupa dan sering terlupa. Hakikatnya seorang ustaz itu pada asasnya tetap seorang lelaki dan ustazah itu tetap seorang wanita yang mana tetap mempunyai naluri yang sama dengan orang lain. Kehendak tetap sama. Cumanya bagaimana mereka melangsungkan kehidupan dan mencaturkan kehidupan itu. Tidak ada yang sempurna. Kita perlu belajar dari perbezaan itu. Percayalah menghargai dan meraikan perbezaan seseorang akan membuatkan kita senang , bahagia dan tenang. Memang proses untuk memahami perbezaan itu satu fasa yang sukar. Bayangkan seorang guru hendak memahami 40 orang pelajar yang berbeza dalam sebuah kelas. Berlapang dada dan bersabar itu yang memudahkan proses. Mungkin makan masa kita hendak menerima perbezaan itu. Mungkin 6 bulan baru kita akan kenal kawan kita. Itu bukan sepenuhnya. Kita akan lebih kenal dengan panjangnya masa. Saya percaya kata sepakat itu akan kita temui bila kita saling menghargai perbezaan masing-masing. Mungkin makan masa. Tidak mengapalah kerana suatu hari kita akan merasai kenikmatan saling melengkapi antara satu sama lain.

Thursday, January 22, 2009

Disebalik kejayaan YB

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Kejayaan itu pasti sesuatu yang semua orang inginkan. Semua orang ingin berjaya itu saya pasti. Kalau boleh kejayaan diperingkat tertinggi. Namun di sebalik setiap kejayaan tentu ada pendorong dan tulang belakangnya. Pertolongan Allah itu memang kepastian dalam sesebuah kejayaan itu. Berjayanya seorang anak sudah semestinya ada ibu bapa yang mendorongnya.
Tidak terlambat ingin saya ucapkan Tahniah pada YB Wahid Endut atas kejayaan dalam pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu yang menggantikan Allahyarham YB Dato' Razali Ismail (Mantan Timbalan Menteri Pelajaran). Dalam perjalanan balik ke kampung menziarah ayah pada 16 Januari 2009, saya telah membeli senaskah akhbar bagi mengisi perjalanan pulang ke kampung yang sudah tentu memakan masa yang lama. Tiba mata saya terpacak pada satu halaman, dan pada halaman itu terpapar gambar seorang wanita. Seorang wanita yang bertudung labuh. Tidak tahu kenapa tiba-tiba bulu roma meremang. Bukan takut. Tapi semacam ada satu semangat dan kekaguman saya pada wanita tersebut. Satu demi satu ayat dalam halaman tersebut saya baca. Beliau ialah Wan Fatimah Wan Abdullah, Isteri kepada YB Wahid Endut. Beliau merupakan seorang guru. Tegarnya beliau. Sudah tentu banyak dugaan yang beliau hadapi semasa tempoh pilihanraya kecil tempoh hari. Namun ketengan tetap terpancar pada wajah beliau. Seusai kerja beliau di sekolah, dia akan memandu keretanya untuk pergi membantu suaminya sewaktu tempoh sebelum pilihanraya berlangsung. Dan saya pasti doa beliau sentiasa mengiringi kejayaan suaminya. Beruntunglah beliau kerana dalam hidupnya dia bukan sahaja dapat mendidik anak bangsa, malah menolong suaminya dalam gerak kerja.
Dan tahniah juga saya ucapkan sahabat-sahabat seperjuangan yang memenangi Pilihanraya Kampus baru-baru ini. Betul, negara sedang mengalami proses transformasi. Ini bukan fantasi lagi. Tidak ada yang dapat menidakkan itu. Setiap orang boleh menilai perkara ini. Cumanya transformasi yang macamna yang kita mahukan. Bagi saya memperolehi kejayaan itu bukan terlalu sukar jika dilakukan bersungguh-sungguh, namun mengekalkan kemenangan dan mengisi kemenangan itu yang sukar. Moga setiap dari kita dapat melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan semua.
Saya secara peribadinya melihat medium perubahan itu boleh betul-betul tercapai. Titik permulaan itu melalui pendidikan. Guru agen perubahan. Guru yang boleh mengubah pemikiran anak-anak bangsa kerana mereka yang mendidik di sekolah. Cumanya tinggal bagaimana guru itu betul-betul melaksanakan tugasnya. Jika betul mendidik secara keseluruhan saya pasti perubahan yang lebih hebat pasti berlaku. Jika sekadar melepaskan tanggungjawab sebagai cikgu, seperti sekadar masuk kekelas memberi ilmu seperti yang termaktub dalam silibus sudah pasti pemikiran generasi muda tidak akan berkembang. Namun seorang guru itu perlu hebat dari segala aspek. Ilmunya, sahsiahnya, akhlak peribadinya dan sebagainya. Guru adalah role model. Mana mungkin kucing boleh terbang jika itu bukan kebolehannya.
Moga guru-guru dapat tanamkan dan pasakkan jiwa murabbi dalam hati masing-masing. Harapan saya pada rakan-rakan seperjungan dan diri sendiri, lengkapkan diri kita untuk kita keluar menjadi pendidik yang baik. Yang dapat melahirkan generasi yang hebat dari segi agamanya, akhlaknya dan semua aspek kehidupan. Dan para guru dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang hebat tidak kira dalam lapangan bidang apa sekalipun yang mereka ceburi. SELAMAT MENJALANKAN TUGAS BUAT SEMUA!!

Wednesday, January 21, 2009

I just realize that..

Alhamdulillah peluang itu sentiasa ada untuk kita menyelami dan menghayati setiap ciptaan yang MAHA ESA..cuma kita terlalu jarang untuk menghargai segenap ruang-ruang yang disediakan. Manusia akan menghargai setiap yang ada di depan mereka ketika mana ia hilang atau pun pergi begitu sahaja. ketika itu lah manusia akan meratapi setiap kebaikan yang dulunya tidak pernag dihargai. Ataupun mungkin waktu itu, manusia akan sedar bila mana apa yang didepan mata itu terlalu sakit sehingga tidak dapat dirawat lagi.
Bila teringat perkataan sakit, teringat pada ayah di kampung. Pada 14 hb Januari 2009 ayah telah menjalani satu pembedahan di bahagian perutnya. Pada waktu itu semua abang saya sudah kembali ke kampung. Cuma saya sahaja tidak pulang kerana tuntutan kuliah yang agak padat. Alhamdulillah lebih kurang 4 jam di bilik pembedahan ayah selamat menjalani pembedahan itu. Saya telefon ayah pada petang selepas pembedahan. Suaranya agak riang tiada tanda-tanda yang dia sakit. Apa yang saya tahu dia makin sihat. Dia juga pesan supaya saya tak pulang ke kampung. Konfius saya ketika itu samada nak pulang atau tidak. Ayah melarang saya pulang sebab dia takut mengganggu saya belajar.Lama saya berfikir. Esoknya saya telefon abang cik, saya bagitahu yang saya dah beli tiket dan akan pulang juga menziarahi ayah..Kepulangan saya ke kelantan kali ini banyak mengajar saya sesuatu yang baru. Yang dulu mungkin saya tidak sedar...Now i realize that......


1) Lelaki juga menangis


- mungkin agak jarang saya melihat lelaki menangis. Adik beradik saya semua lelaki kecuali saya. Abang-abang saya pun sukar menangis. Jika mereka sedih sekalipun mereka sedaya upaya menahan air mata. Tapi ayah menitis air mata. Ayah menitis air mata sebab saya. Abang cik bagitahu ayah menangis bila dia dapat tahu yang saya akan pulang ke kampung. Katanya ayah terharu sangat. Baru saya sedar yang ayah sebenarnya mengharapkan saya balik cumanya dia risau dia akan mengganggu saya belajar. Sungguh saya tersentuh. Waktu tu rasa nak berlari pulang ke kampung segera. Bila saya sampai di hospital, ayah tidur. Hanya mak ada disisi ayah. Saya salam mak dan minta diri ke surau untuk solat jamak. Waktu tu rasa nak peluk sahaja ayah tapi saya dah berjanji tidak akan buat ayah menangis lagi sebab saya. Selesai solat saya masuk ke wad. Penuh suadara mara. Maksu saya dari Johor juga pulang menjenguk ayah. Saya lihat mata ayah merah. Saya tahu ayah menangis lagi. Tapi waktu tu saya kuatkan hati, pergi dekat ayah dan mencium tangannya dan saya tanya "ayah sihat?" sambil tersenyum.Bukan tak nak peluk ayah tapi saya pasti jika saya buat macam tu sekali lagi air mata ayah akan menitis. Abang cik bagitahu ayah menangis lagi bila jumpa anak saudara nya dari Johor pulang semata-mata melawatnya. Sudah empat tahun mereka tidak jumpa, tapi pada waktu ayah sakit mereka pulang.Ayah akan menangis bila jumpa siapa-siapa sahaja yang rapat dengannya. Begitu lembutnya hati ayah yang selama ini amat tegas. Saya sedar seorang lelaki, seorang pemimpin juga boleh dan perlu menangis. Dan tiada salah jika mereka menangis....sebab mereka juga insan ciptaan Allah.


2) Seorang isteri sentiasa sabar


Di wad 1(wad lelaki) yang ayah tinggal mijoriti yang menjadi penjaga adalah wanita. Dan apa yang mengagumkan saya wanita itu bergelar isteri kepada seorang lelaki. Sangat jarang anak yang menjaga. Boleh dikira berapa kerat sahaja anak yang menjaga ayanhnya. Kadang-kadang timbul rasa kesian bila melihat mak cik- mak cik menjaga suami. Kepenatan jelas tetgambar di wajah mereka. Mana tidaknya ada yang sudah berada di hospital berminggu-minggu kerana menjaga suami mereka. Senyuman sentiasa terukir di bibir mereka walaupun penat. Tidak penah jemu melayan setiap apa yang suami mereka minta. Jika hendak makan mereka ambilkan. Bila suami mereka sakit badan mereka urutkan. Saya yang muda ini tersenyum dari jauh. Dalam hati terdetik, sabarnya wanita. Jika sebelum ini di marah suami sebab kesilapan yang dibuat, jika dulu disakiti suami sebab ada yang tidak lengkap, tapi itu semua lenyap begitu sahaja. Umpama tulisan di atas pasir. Mereka tidak pernah simpan dalam hati. Begitu juga mak. Mak sentiasa sabar. Abang kata biarlah kami anak yang jaga ayah. Mak jawab yang ayah tak nak. Dia nak juga mak yang jaga. Lain anak yang jaga berbanding isteri. Saya tahu mak penat tapi kepenatan itu ditutupi dengan kesabaran. Betul mak seorang yang amat sabar. Saya belum tentu mampu jadi sesabar mak. Saya amat kagum dengan mak..


3) Seorang ibu sentiasa berkorban


Selepas 2 hari 1 malam di kampung, saya meminta izin untuk pulang ke UPSI. Selepas bersalam dan memeluk ayah, saya bersalaman dengan mak pula. Erat pelukan mak kali ini. waktu tu saya tahan air mata. Tak sanggup saya nak melihat ayah dan mak mentiskan air mata jika saya menangis. Abang cik hantar saya ke stesen bas yang tidak jauh dari hospital. Dalam bas saya duduk disebelah seorang kakak. Dia perkenalkan dirinya sebagai kak su. Kak su juga merupakan pelajar UPSI. Saya dan kak su bersembang dalam bas. Walaupun baru berkenalan rasanya macam dah lama kenal. Rupa-rupanya kak su dah kahwin dan dah ada seorang cahaya mata. Anaknya baru berumur enam bulan. Sangat kesian saya lihat kak su. Saya tahu sudah tentu berat hati nak meniggalkan anak sekecil itu. Kak su kata dia terpaksa extent satu semester sebab mengandung. Bukan alahan yang menyebabkan dia extand tapi dia terpaksa mendapat rawatan khas disebabkan sebelum ini dia sudah mengalami dua kali keguguran. Dan saya jangka rahimnya tidak kuat untuk penempelan bayi. Tegarnya kak su. Dia kata walaupun dia extent tapi dia tamat belajar sama dengan kawan-kawannya. Saya hairan. Dia terangkan yang dia add subjek yang dia extend dalam setiap semester jadi dia boleh konvo dengan kawan-kawannya yang lain. Saya tanya tak penat ke. Dia kata faktor umur dan anak buatkan dia kuat untuk buat macam tu. Saya usik dia, tentu semangat kan belajar bila dah ada anak. Dia mengiayakan gurauan saya. Dia kata hari-harinya tidak sama dengan mahasiswa lain. Dia kena siapkan semua kerja awal kerana pada hujnug minggu kena balik melawat anaknya di kampung. Dan dia sanggup mengambil subjek yang banyak setiap semester dan saya jangka faktor utama ialah anaknya. Besar pengorbanan kak su. Seorang ibu sentiasa sanggup berkorban. cuma anak yang sentiasa tidak menghargainya. Moga kak su sentiasa diberkati Allah. Moga anak kak su yang dilahirkan dengan berat 4.1 kg akan membesar menjadi anak yang soleh.

Monday, January 5, 2009

FAKTA SERANGAN ISRAEL DI GAZA

FAKTA SERANGAN ISRAEL DI GAZA
  • Masuk hari ke 10 sejak dilancarkan 27 Disember lalu
  • Jumlah korban lebih 524 orang termasuk 94 kanak-kanak sementara lebih 2500 cedera
  • Tentera Israel kepung Gaza City dan membahagi dua Genting Gaza selepas kawal jalan raya utama
  • Pertempuran sengit di Jabaliya dan Beit Lahiya
  • Dua serangan tentera Zionis semalam meragut nyawa lima anak kecil
  • Serangan udara jet pejuang Israel mengenai 130 sasaran sejak malam semalam
  • Sejak semalam 75 penduduk palestin terbunuh
  • Hampir 1000 bedilan dilancarkan ke Gaza
  • Bekalan air dan makanan semakin meruncing,bekalan elektrik terputus

Sumber : Utusan Malaysia ( Selasa, 6 Januari 2009)

Ya Allah, hancurkanlah orang-orang kafir dan musyrik itu. Berilah rasa takut kepada musuh-musuh kami, musuh-musuhMu, dan musuh-musuh agamaMu. Ya Allah, muliakanlah agama Islam dan kaum muslimin. Rapatkanlah tali kasih sayang dalam sanubari mereka dan perbaikilah hubungan kekeluargaan diantara mereka serta berilah pertolongan kepada mereka dalam melawan musuh-musuhMu dan musuh-musuh kaum muslim.

Norhafizawati Binti Mahmad Rozali

Exco Latihan Dan Pembangunan Sahsiah

MPP UPSI 08/09

Sunday, January 4, 2009

SELAMAT MENGHADAPI SEMESTER BARU

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Masa berjalan begitu pantas.Tanpa kita sedar kita sekali lagi melangkah ke semester baru iaitu semester 2 2008/2009. Dikesempatan ini saya mewakili Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP 08/09 UPSI khususnya ingin merakamkan ucapan selamat menghadapi semester baru dan selamat meneruskan pelajaran di bumi UPSI yang kita cintai ini.Moga segala azam di tahun baru ini akan tercapai..

Norhafizawati Bt Mahmad Rozali
Exco Latihan Dan Pembangunan Sahsiah
MPP UPSI sesi 08/09