Thursday, January 22, 2009

Disebalik kejayaan YB

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Kejayaan itu pasti sesuatu yang semua orang inginkan. Semua orang ingin berjaya itu saya pasti. Kalau boleh kejayaan diperingkat tertinggi. Namun di sebalik setiap kejayaan tentu ada pendorong dan tulang belakangnya. Pertolongan Allah itu memang kepastian dalam sesebuah kejayaan itu. Berjayanya seorang anak sudah semestinya ada ibu bapa yang mendorongnya.
Tidak terlambat ingin saya ucapkan Tahniah pada YB Wahid Endut atas kejayaan dalam pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu yang menggantikan Allahyarham YB Dato' Razali Ismail (Mantan Timbalan Menteri Pelajaran). Dalam perjalanan balik ke kampung menziarah ayah pada 16 Januari 2009, saya telah membeli senaskah akhbar bagi mengisi perjalanan pulang ke kampung yang sudah tentu memakan masa yang lama. Tiba mata saya terpacak pada satu halaman, dan pada halaman itu terpapar gambar seorang wanita. Seorang wanita yang bertudung labuh. Tidak tahu kenapa tiba-tiba bulu roma meremang. Bukan takut. Tapi semacam ada satu semangat dan kekaguman saya pada wanita tersebut. Satu demi satu ayat dalam halaman tersebut saya baca. Beliau ialah Wan Fatimah Wan Abdullah, Isteri kepada YB Wahid Endut. Beliau merupakan seorang guru. Tegarnya beliau. Sudah tentu banyak dugaan yang beliau hadapi semasa tempoh pilihanraya kecil tempoh hari. Namun ketengan tetap terpancar pada wajah beliau. Seusai kerja beliau di sekolah, dia akan memandu keretanya untuk pergi membantu suaminya sewaktu tempoh sebelum pilihanraya berlangsung. Dan saya pasti doa beliau sentiasa mengiringi kejayaan suaminya. Beruntunglah beliau kerana dalam hidupnya dia bukan sahaja dapat mendidik anak bangsa, malah menolong suaminya dalam gerak kerja.
Dan tahniah juga saya ucapkan sahabat-sahabat seperjuangan yang memenangi Pilihanraya Kampus baru-baru ini. Betul, negara sedang mengalami proses transformasi. Ini bukan fantasi lagi. Tidak ada yang dapat menidakkan itu. Setiap orang boleh menilai perkara ini. Cumanya transformasi yang macamna yang kita mahukan. Bagi saya memperolehi kejayaan itu bukan terlalu sukar jika dilakukan bersungguh-sungguh, namun mengekalkan kemenangan dan mengisi kemenangan itu yang sukar. Moga setiap dari kita dapat melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan semua.
Saya secara peribadinya melihat medium perubahan itu boleh betul-betul tercapai. Titik permulaan itu melalui pendidikan. Guru agen perubahan. Guru yang boleh mengubah pemikiran anak-anak bangsa kerana mereka yang mendidik di sekolah. Cumanya tinggal bagaimana guru itu betul-betul melaksanakan tugasnya. Jika betul mendidik secara keseluruhan saya pasti perubahan yang lebih hebat pasti berlaku. Jika sekadar melepaskan tanggungjawab sebagai cikgu, seperti sekadar masuk kekelas memberi ilmu seperti yang termaktub dalam silibus sudah pasti pemikiran generasi muda tidak akan berkembang. Namun seorang guru itu perlu hebat dari segala aspek. Ilmunya, sahsiahnya, akhlak peribadinya dan sebagainya. Guru adalah role model. Mana mungkin kucing boleh terbang jika itu bukan kebolehannya.
Moga guru-guru dapat tanamkan dan pasakkan jiwa murabbi dalam hati masing-masing. Harapan saya pada rakan-rakan seperjungan dan diri sendiri, lengkapkan diri kita untuk kita keluar menjadi pendidik yang baik. Yang dapat melahirkan generasi yang hebat dari segi agamanya, akhlaknya dan semua aspek kehidupan. Dan para guru dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang hebat tidak kira dalam lapangan bidang apa sekalipun yang mereka ceburi. SELAMAT MENJALANKAN TUGAS BUAT SEMUA!!

No comments: