Sunday, August 9, 2009

Kenyataan Media

Kenyataan Semasa:

Kecewa Jaclyn Victor Ibarat Mencemarkan Institusi Pendidikan Terulung Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan kecewa dengan kehadiran Jacklyn Victor di UPSI sewaktu majlis perasmian pesta konvokesyen. Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan memandang serius berkenaan perkara tersebut dan membantah kehadiran artis ini sempena pesta konvokesyen pada kali ini yang seharusnya bersifat intelektual bukannya hedonism apatah lagi ketika ini kita berada di Bulan Syaaban dan akan menjalani ibadah Ramadhan tidak lama lagi. Persoalannya lagi, mengapa perlu dibazirkan wang untuk tujuan hiburan berbanding dengan perkara-perkara bersifat akademik dan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi.

Kami begitu kecewa terhadap pihak pihak penganjur yang menjadi sebahagian dari warga pendidik seharusnya memainkan peranan untuk menapis permohonan persembahan artis dari luar negara. Tapisan ketat perlulah dibuat bagi artis-artis yang mengadakan pertunjukan yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat di UPSI dan penduduk sekitarnya memandangkan UPSI adalah institusi yang melahirkan bakal pendidik. Gejala hendonisme, iaitu hiburan yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan budaya masyarakat Malaysia. Penganjuran konsert terbabit boleh menggalakkan budaya yang tidak sihat ini.

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan persembahan artis berkenaan akan melanggar garispanduan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdasarkan kepada latarbelakang dan sejarah penyanyi tersebut.

Mengikut kod 15.2 SKMM menyatakan pemakaian artis wanita yang ingin membuat persembahan di Malaysia di Malaysia adalah seperti berikut:


- Pakaian hendaklah lengkap, kemas, sopan dan tidak terlalu ketat;

- Pakaian hendaklah tidak mendedahkan sebahagian besar dada dan perut;

- Skirt hendaklah di bawah paras lutut; dan

- Kain berbelah sama ada di hadapan, di tepi atau di belakang, hendaklah tidak melebihi dua inci di atas paras lutut.

Garis panduan artis:

Selain itu, kod 15.3 pula menyatakan bahawa artis lelaki dan wanita perlu mematuhi garis panduan seperti di bawah:

- Muka hendaklah tidak diconteng;

- Pakaian hendaklah tidak koyak atau bertampal-tampal;

- Pakaian hendaklah tidak terlalu jarang atau yang memberi kesan jarang;

- Pakaian hendaklah tidak memaparkan simbol, perkataan sumbang atau gambar lucah;

- Jenis-jenis pakaian hendaklah tidak membayangkan pemakainya tidak berpakaian;

- Baju hendaklah berlengan kecuali semasa berpakaian tradisional;

- Tatu hendaklah tidak dipamerkan pada mana-mana bahagian tubuh badan kecuali sememangnya menjadi unsur budaya seseorang artis itu; dan

- Perwatakan hendaklah tidak berlawanan dengan jantina sebenar kecuali dengan kebenaran.

Berdasarkan kod etika di atas, sememangnya artis yang bakal dijemput sudah melanggar kod etika tersebut. Bukan setakat kod tersebut, bahkan dari segi adab dan budaya pun sudah bertentangan. Satu perkara lagi, bulan Ramadhan akan menjelma dalam minggu hadapan dan sekarang ini juga kita sedang berada dalam bulan Syaaban di mana bulan buku amalan kita ditukarkan. Di manakah sensitiviti pihak penganjur dalam menghormati bulan yang mulia ini.

Perlu ditegaskan sekali lagi di sini bahawa kami tidak menolak hiburan, bahkan merasakan hiburan ini adalah satu ‘alternatif’ manusia masa kini. Namun yang dipertikaikan disini ialah bentuk hiburan yang melampau dan merosakkan minda dan jiwa rakyat, hiburan yang melalaikan dan membawa anasir-anasir negatif seperti pergaulan bebas, khayalan cinta dan lupa diri kepada bakal pendidik UPSI khususnya dan masyarakat sekeliling amnya. Realiti hari ini, hiburan telah lari dari tujuan untuk merehatkan minda dan santai kepada tujuan perniagaan dan keuntungan. Tapi jika inilah yang dihadapkan pada anak bangsa yang merdeka ini kami sesekali tidak akan bersetuju dan akan menentangnya.

Kami juga mencadangkan agar program pembangunan terhadap mahasiswa/i mestilah diperbanyakkan dengan berlandaskan kepada Islam dan dasar negara bukannya hiburan yang akhirnya akan menghancurkan masa depan remaja dan negara.

Firman Allah,

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Sekian desakan dan tuntutan kami

Yang menjalankan amanah

Mohd Zulhilmi bin Mohd Noor
Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Adriyani binti Yamin
Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Nur Aqilah hanis Bt Mohd Yusoff
Exco Akademik & Kerjaya

Arif bin Mohamad
Exco Akademik & Kerjaya

Akmal bin Madzir
Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Norhafizawati bt Mahmad Rozali
Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Mohd Hanif Azwan bin Abd Rahman
Exco kesenian & Kebudayaan

Norhisham bin Che Hamid
Exco Kesenian & Kebudayaan

1 comment:

Raihan Mahmood said...

jac datang wat persembahan utk konvo ke ja? ish..hmbt je dia kelik.heee