Monday, December 29, 2008

Datuk Seri Harussani Zakaria & Dr Wahbah al-Zuhaily Tokoh Maal Hijrah 2008

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, 69, dan cendekiawan Islam dari Syria, Prof Dr Wahbah al-Zuhaily, 76, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1430H/2008M peringkat kebangsaan, di sini, semalam (Tanggal 29 Disember 2008). Kedua-dua tokoh berkenaan masing-masing menerima wang tunai RM100,000 daripada kerajaan, RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, plak, sijil dan hadiah iringan. Mereka menerima anugerah itu daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sambutan bagi peringkat kebangsaan itu disertai kira-kira 2,500 peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun dan mubarak yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ia dirasmikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.


Dato' Seri Harussani yang berasal dari Kampung Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak dipilih berdasarkan kepada sumbangan menyebarkan Islam dengan tekun dan berdedikasi. Beliau anak bongsu daripada lima beradik banyak menerima anugerah kerana menyumbang pada peringkat kebangsaan sebagai Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Pentashih al-Quran, Lembaga Teks dan Pelesenan al-Quran dan Pengerusi Penapisan Buku-Buku Bercorak Agama di Malaysia dan Penasihat kepada Kumpulan Maybank. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Kedah dan Sekolah Anglo-Cina di Parit Buntar serta antara kumpulan pelajar Islam pertama yang mengikuti pengajian di Kolej Islam London pada 1989.


Sementara itu, Dr Wahbah yang dilahirkan di Dir Atiyyah, Syria pernah dilantik memegang pelbagai jawatan antaranya perunding Majlis Persidangan Fiqh Antarabangsa; Pengerusi Majlis Pengawasan Syariah di Bank Islam Al-Dauli, Bahrain; Ketua Bahagian Kajian Syariah Bagi Majlis Syarie bagi Kewangan Islam Bahrain dan anggota Majlis Fatwa Tertinggi Syria. Dr Wahbah turut mempunyai kepakaran dalam bidang penulisan ilmiah dan banyak hasil penulisan beliau menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia.


Biro Latihan Dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Perwakilan Pelajar 08/09, UPSI ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan TAHNIAH kepada kedua-dua tokoh iaitu Datuk Seri Harussani dan Dr Wahbah. Moga jasa mereka terus dikenang dan mereka menjadi ikon atau pemangkin kepada generasi muda untuk terus meyampaikan dan menyebarkan Islam.


Memetik kata-kata Datuk Seri Harussani, prinsip dan sikap menyatakan kebenaran dalam apa jua keadaan tanpa mengira kepada sesiapa perlu diamalkan jika mahu menjadi seorang Muslim yang baik.


Daripada:


Akmal Bin Madzir


Norhafizawati Binti Mahmad Rozali


Exco Latihan Dan Pembangunan Sahsiah


MPP 08/09


UPSI.


p/s: Salam Takziah atas kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman Sabtu lepas dan kematian lebih 250 rakyat Palestin yang tidak berdosa ekoran serangan udara Israel di Selatan Gaza. Moga roh Almarhum dan rakyat palestin yang terkorban dicucuri rahmat.Amin


Sumber: Berita Harian

HarakahDaily

No comments: