Friday, September 25, 2009

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/1430 H

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H
MPP PRO KEBAJIKAN
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Assalamualaikum wbrkth dan Salam Kebajikan,

Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya yang diberi kemudahan untuk berada dibumi Universiti Pendidikan ini. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kemaksiatan kepada-Nya.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.
Sahabat-sahabat dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikasihi,
Selamat menyambut Aidulfitri dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan UPSI. Hari kemenangan bagi ahli-ahli ibadah yang telah berjaya kembali kepada fitrah setelah tiga puluh hari melatih nafsu buas untuk menjadi muthmainnah (tenang/tunduk) dan juga menjadi orang-orang yang bertakwa.

Dalam detik masa yang penuh berharga dan barakah ini marilah kita sama-sama merenung sejenak hari-hari yang telah berlalu dalam bulan yang penuh mulia yang telah kita lalui bersama-sama di Universiti Pendidikan tercinta ini.

Bersama kita bersyukur sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam ditengah malam menjadi kenangan manis bulan ramadhan dibumi UPSI yang tercinta ini, yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua dan sayugia jangan dilupakan pada hari-hari yang mendatang.

Bersama kita ishtighfar, jikalau ruang masa di bulan Ramadhan ini hanya diulit tidur panjang yang lena, kata-kata yang tidak bermakna atau sekadar mengisi perut yang lapar di waktu berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Kami memohon ampun dari-Mu ya Allah.

Rakan-rakan mahasiswa dan seluruh warga UPSI sekalian,
Perjuangan menuntut ilmu di bumi Universiti Pendidikan Sultan Idris ini penuh dengan duka lara. Sentiasa teringatkan suasana permai desa dan senyum tawa ibunda dan ayahanda. Manis riang juga timbul sekali sekala ketika bersama-sama sahabat tercinta yang menjadi anggota keluarga di mana-mana jua. Sudah menjadi lumrah dunia mahasiswa. Al-Imam al-Syafei berkata ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita. Maka marilah kita sama-sama menggunakan peluang keberadaan di kampung halaman untuk memohon maaf kepada kedua ibu-bapa, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam amnya.
Bagi yang tidak pulang, bersabarlah. Di hari raya ini usahlah banyak kita melayan perasaan sedih teringatkan ayah bonda dan sanak saudara dikampung atau yang telah pergi. Banyakkan bertakbir dan hayatilah roh hari raya yang diajarkan oleh agama kita. Hari raya ialah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Keperitan dan mehnah yang dilalui di Universiti Pendidikan ini kadang-kadang diperlukan oleh kita untuk menjadi matang juga mengenal kehidupan. Islam dalam sejarahnya yang agung juga tidak terlepas dari dikunjung ujian dan dugaan.

Jagalah Keselamatan Diri dan Berhati-hati Bagi yang Memandu
Menyedari dan menginsafi tanggungjawab kami selaku kepimpinan pelajar UPSI, kami dengan rendah hati memohon sahabat-sahabat mahasiswa berhati-hati dan senantiasa menjaga keselamatan diri tatkala pulang dan datang dari kampung. Bagi yang menaiki bas terutamanya yang terpaksa menaikinya di KL, berwaspadalah dan bawalah teman seiring semasa perjalanan ke Kuala Lumpur. Senantiasa prihatin terhadap barang-barang penting seperti komputer riba, dompet dan sebagainya agar tidak tercicir.

Bagi yang memandu kenderaan sama ada kereta atau motorsikal, berhati-hatilah ketika memandu dan pastikan kenderaan sahabat selamat dan berada dalam keadaan baik sebelum meneruskan perjalanan pulang. Jangan memandu dengan tergesa-gesa, bersabarlah di jalan raya. Moga-moga kita dilindungi Allah dari musibah.

Kirimkan Ucapan Salam Aidilfitri Dari Kami
Kami barisan MPP Pro-Kebajikan ingin memohon sahabat-sahabat mahasiswa sekalian untuk menyampaikan ucapan salam eidulfitri buat ayahanda dan ibunda tercinta dan tidak lupa juga buat sanak saudara dikampung. Sampaikanlah ucapan selamat sejahtera dan salam kemenangan dari kami teman seakidah dan se-Islam sahabat sekalian.

Mohon Kemaafan dari Segala Kesilapan,
Akhir kalam, cukuplah sekadar itu dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan. Kami dengan rendah hati memohon kemaafaan dari seluruh sahabat-sahabat mahasiswa dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dicintai ini atas segala kesilapan dan kekurangan kami disepanjang tahun sebelum ini. Moga-moga dengan kemaafan diberikan kita dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan atas nama Islam.

Marilah kita doakan semoga Ramadhan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekalan kita di hari akhirat kelak. Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Amal al-Islami (umat yang bersatu dalam amal Islam.

Salam Aidulfitri,

Akmal b. Madzir
Norhafizawati bt. Mahmad Rozali
(Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI 08/09)

Arif b. Mohamad
Nur Aqilah Hanis bt. Mohd Yusoff
(Exco Akademik dan Kerjaya MPPUPSI 08/09)

Mohd Zulhilmi b. Mohamad
Adriyani bt. Yamin
(Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPPUPSI 08/09)

Norhisyam b. Che Hamid
Mohd Hanif Hazwan b. Ab. Rahman
( Exco Kesenian dan Kebudayaan MPPUPSI 08/09)

Friday, September 11, 2009

Munajat Seorang Hamba


" Ya Allah aku memohon kepada-Mu rahmat yang memberikan hidayah pada hatiku dan melengkapkan kesempurnaan diriku. Dan menampung kekuranganku dan memperbaiki apa yang tiada pada diriku dan menaikkan kedudukanku dengan persaksian dan menyuscikan perbuatanku,dan memberikan kepadaku ilham dan mengembalikan kepadaku ketenangan dan melindungiku daripada kejahatan.
Ya Allah anugerahkanlah buatku keimanan dan keyakinan yang tidak kufur selepasnya, dan rahmat yang membolehkan aku mencapai kemuliaan dunia dan akhirat. Ya Allah ku pohon kepadaMu kemenangan dan kedudukan para syuhada dan kehidupan orang yang bahagia dan kemenangan atas musuh.
Ya Allah penuhkanlah hajatku, walaupun lemahnya diriku dan amalanku, namun aku tetap mengharapkan rahmatMu. Maka aku memohon kepadaMu menunaikan segala perkara yang melegakan dada, sebagaimana Engkau menyelamatkan, selamatkanlah kami daripada api neraka, dan daripada gangguan kekufukuran dan fitnah kubur.
Ya Allah apa yang tidak mampu aku memintanya kerana tidak sampai niatku sedangkan Engkau menganugerahinya kepada hamba-hambaMu, maka aku memintanya. Aku mengharapkan dengan rahmatMu wahai Tuhan sekalian alam.
Ya Allah yang memiliki berbagai rahsia dan urusanNya, aku memohon kepadaMu keselamatan pada hari kiamat, dan syurga pada hari yang kekal bersama dengan muqarrabin yang telah bersaksi, para Mukmin yang sujud yang menunaikan janji, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Penyayang dan melakukan apa yang Engkau kehendaki.
Ya Allah jadikan kami ini sentiasa menyampaikan hidayah dan mendapat hidayah, bukannya yang sesat dan menyesatkan, pembawa keselamatn buat para waliMu memerangi musuhMu, kami cinta dengan kecintaanMu orang yang mencintaiMu dan memusuhi sesiapa yang memusuhiMu.
Ya Allah inilah doa-doaku, kabulkanlah ia, dan ini merupakan usaha dan tawakal buatMu.
Ya Allah kurniakanlah cahaya dalam hatiku, cahaya dalam kuburku, cahaya dihadapanku, dan cahaya dibelakangku, dan cahaya disebelah kananku dan cahaya disebelah kiriku dan cahaya dari atasku dan cahaya dari sebelah bawahku dan cahaya pada pendengaranku dan cahaya pada penglihatanku dan cahaya pada rambutku dan cahaya pada kulitku dan cahaya dalam dagingku dan cahaya dalam darahku dan cahaya dalam tulangku.
Ya Allah kurniakanlah buatku cahaya yang agung dan berilah kepadaku cahaya, Maha Suci Dia yang memiliki keagungan dan Maha Mulia dengannya, Maha Suci Dia yang tasbih itu khas buatnya, Maha Suci Dia yang memiliki anugerah dan nikmat, Maha Suci Dia yang memiliki kemuliaan dan pemurah, Maha Suci Dia yang memiliki keagungan dan ketinggian"
p/s: sama kita koreksi diri kita di fasa terakhir Ramadhan. Teringat pesanan salah seorang penceramah 'Bicara Wanita'. Kata beliau , sebulan kita di latih di dalam Universiti tarbiyah (Ramadhan) dan ianya perlu ada keberlangsungan dan praktikal pada sebelas bulan yang mendatang sehinggalah kita bertemu kembali Ramadhan yang seterusnya ( InsyaAllah).

Tuesday, September 8, 2009

Makin dekatkah DIA?

Alhamdulillah.


Dua tiga hari kebelakangan ini merupakan detik-detik yang amat perit bagi Nur. Tidak kira sebagai mahasiswa mahupun hamba Allah. Ramadhan makin memecut pergi. Hanya tinggal beberapa hari berbaki lagi untuk Ramadhan tinggalkan kita.


Ramadhan kali ini amat menguji Nur. Teramat sangat. Nur sememangnya menanti kedatangan Ramadhan. Namun hati Nur makin gelisah. Ramadhan merupakan universiti tarbiyah umat Islam. Dan kali ini Nur memang ditarbiyah. Dia rasa tidak terdaya untuk menghadapi ujian seberat ini. Sepanjang hidup pelbagai mehnah Nur hadapi baik sewaktu Nur meminpin mahaupun ketika dipimpin. Namun ujian kali ini teramat dahsyat sekali.


Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terpahat dan terbuku dihati. Mungkinkah ini satu cara Allah mendekatkan lagi Nur dengan DIA. Ya, mungkin.


Usai memberi salam solat sunat tadi, seseorang berada disebelah Nur. Nur amat kenali dia. Dialah antara salah seorang perintis pemimpin yang Nur tinggalkan di alam kampus.


" Kak ada orang bagi bungkusan untuk akak, lepas tu ada buku sekali"


Nur buka. Oh rupanya niqob sewaktu belajar dipondok dulu. Nur belek lagi, ada sebungkus biskus. Dan last skali Nur lihat ada sebuah buku. Nur tidak sempat membelek buku tersebut. Imam mula mengagkat takbir menandakan seruan berbicara dengan KEKASIH yang satu.


Sepanjang solat, Nur sungguh takut dan sebak. Tapi Nur kuatkan diri untuk terus berbicara dengan DIA. Salam terakhir solat sunat witir, sekali lagi buatkan Nur sebak. Allahuakbar kuatnya tarbiyah DIA kali ini. Selepas Nur bersalaman dengan jamaah muslimat yang lain, Nur terus duduk ditepi bungkusan tadi. Nur capai buku tadi. Laju air mata kali ini. Tidak tertahan rasa untuk tanggung ujian kali ini. Sebuah buku tulian DR. AIDH AL-QARNI yang bertajuk '30 Kunci Meraiah Kebahagian, Penyembuh Masalah Kejiwaan'. Ada semacam sepucuk surat ditampal di kulit buku. Kali ini nur tidak dapat menahan air mata dia.

Buat Orang Muda.
Acara kamu masih menunggu puncaknya
walau terkadang salah bicara
Namun DIA tetap cinta
Walau terkadang sasar gayanya
DIA tetap menunggu dirimu berbicara
Bicara cinta antara kamu dan DIA
Bicara cinta agung yang pasti tiada taraNya
Berbahagialah orang muda
Yang pasti tahu datang dan perginya,
hanya disisi Tuhan yang ESA
(anak bongsu)




Sungguh air mata Nur makin deras. Nur sangat terharu dengan pemberian dari seorang adik kepada seorang kakak. Nur terimbau kata-kata adiknya.

"Kak kita dah tak sebilik. Kalau tak saya selalu tengokkan akak. Saya akan cam akak ada pendam sesuatu melalui cara solat akak. Waktu tu akak akan nampak lain. Akak luahkan semua benda waktu tu. Tapi sekarang saya tak dapat dah tengok akak lagi. Sabarlah kak. Allah sayang akak sebab tu dia uji akak macam ni. Mungkin ini petanda akak akan menjadi tetamu DIA tak lama lagi.."


Namun cepat Nur beristighfar kerana ada tugas yang menanti diluar sana. Perasaan itu tidak boleh dilayan. Masih banyak gerak kerja yang menanti. Dia berdiri. Walaupun langkah keluarnnya dari surau bersahaja, tapi hatinya masih lemah untuk mengahadapi realiti yang sebenarnya. Kekuatan itu masih berbaki kerana satu, ya kerana Nur tahu Allah itu sentiasa disisi dia. Segalanya yang terbaik Allah catur untuk hambaNYA. Itu Nur yakin. Walaupun kekuatan itu hanya mampu Nur bina dalam beberapa detik, Nur rasa tenang. Nur tahu beberapa detik selepas ini perasaan sebak itu akan datang lagi, tapi Nur yakinkan diri bahawa Allah akan sentiasa memberi ketenangan padanya. Yang penting selalu dekatkan diri padaNYA kerana DIA pemilik segalanya.


"Ya Allah, tiada Tuhan yang sebenar melainkan Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku, aku adalah hambaMu, dan aku berjanji mentaatiMu semampuku. Ku kembalikan kepadaMu segala nikmat yang Kau berikan dan aku kembali kepadaMu dengan dosa yang aku lakukan. Ampunilah aku, kerana tiada siapa yang dapat mengampuniku melainkan Engkau"

Sunday, September 6, 2009

Memimpin Seorang Bakal Pemimpin


Usia saya sudah mencecah 22 tahun. Jika ketika ini ada sesetengah sahabat-sahabat telah ada master plan untuk hidup mereka berlainan dengan saya. Ramai kawan-kawan saya terutamanya siswi merancang selepas keluar UPSI merancang untuk bertunang, berkahwin dan sebagainya. Pernah seketika dulu diusia awal 19-20 tahun saya merancang begitu. Namun, bila mula mencecah usia 22 tahun semua itu berubah. Ada sesuatu yang perlu saya laksanakan sebelum saya merancang membina bait dakwah. Pada rakan-rakan, saya doakan teruskan perancangan murni anda. InsyaAllah saya akan menyusul tapi bukan waktu terdekat ini. Saya masih belum mampu untuk berfikir tentang 'agenda' dan 'tanggungjawab' besar itu buat masa ini.


Kehidupan saya di UPSI penuh dengan ujian dan pengalaman-pengalaman yang amat sukar saya hendak lupakan. Cuma satu benda yang saya pegang dan saya belajar dari mak. Bersabar. Bersabar dan Bersabar. Tidak kira dengan sahabat atau lawan. Suatu perkara sukar bilamana kita terpaksa berkomunikasi dan berhubung dengan manusia samada sahabat satu fikrah mahupun tidak. Cuma usai saya tamat UPSI dan praktikum, satu hajat yang sudah lama saya rancang dan simpan tercapai. Saya mahu menjadi tetamu Allah di Tanah Suci. Hajat ini pernah saya sampaikan pada mak suatu masa dahulu, namun mak minta saya tangguhkan dulu. Dan kali ini saya ingin hajat saya itu Allah makbulkan. Dan moga mak juga izinkan saya untuk saya menziarahi Tanah Suci kali ini. Tidak semua orang akan terpilih, namun kali ini saya ingin sekali Allah memilih saya. Terima kasih pada seorang junior saya yang ingin menjadi peneman saya nanti walaupun saya sering ingatkan dia bahawa ini cuma perancangan yang mana Allah jua yang menentukannya. Moga Allah memberkati mu dik.


Tanggungjawab


Kini, adik saya Muhammad Eizlan Amir sudah mencecah 13 tahun. Satu fasa yang amat sukar untuk dikawal. Dan tanggungjawab mendidik adik telah ditugaskan pada saya. Saya kadang-kadang hilang punca untuk mencari metod yang sesuai untuk membina diri adik supaya menjadi Muslimin yang hebat. Bukan sahaja soleh malah pemimpin yang hebat. Berlainan dengan saya dimana saya dibentuk dan dijaga oleh 3 orang abang yang sentiasa 'guide' saya. Sekarang sampai giliran saya untuk menggalas tanggungjawab itu. Adik seorang anak yang baik. Dia amat rapat dengan ayah. Anak bongsu selalu begitu. Jika saya dibesarkan penuh kelembutan, lain caranya saya mendidik adik. Saya cukup tegas dengan adik. Adik akan berhati-hati bila melakukan sesuatu. Malah bajunya sekalipun dia takut untuk saya basuhkan. Jika dia hendak makan dia akan sedaya upaya masak sendiri. Satu benda yang saya amat tegas dengan adik bab solat. Saya tidak mahu dia melalikan solatnya. Sebab jika dia mahu jadi pemimpin, solat dia perlu utamakan. Kadang-kadang saya tahu jiwanya memberontak bila dimarahi saya, namun saya buat begitu supaya dia tidak ikutkan hatinya. Pernah beberapa kali saya marah dia sebab dia leka bermain sehingga dia lewat solat. Saya akan cari dia sampai dia balik solat. Baru dia saya benarkan jumpa kawannya. Saya agak terbuka dengan adik, tapi bab solat tiada kompromi atau kelonggaran yang saya benarkan pada adik.


Dan sekarang, umurnya makin meninggkat dewasa. Sudah tentu cara saya mendekati adik sudah berubah. Jarang sekali saya memarahi dia. Kini saya dan adik lebih senang 'slow talk'. Dia pun ada bertanyakan pendapat dan pandangan saya. Tiada lagi perasaan takut dimarahi saya. Cuma, sikap tegas saya padanya masih tidak berubah. Itu adik amat memahami. Ada benda saya berlembut dan ada benda yang saya akan tegas.


Saya pun mula memahami sikap dia. Saya tidak mahu adik dibesarkan dalam keadaan penuh tekanan. Pernah saya ingin menghantarnya ke SMKA. Tapi, akhirnya saya memberi pilihan untuk dia memilih sesuatu yang dia sukai. Saya tahu, ada jiwa kepimpinan dalam jiwanya. Dia sendiri pernah menjadi kepimpinan pelajar disekolah. Namun, satu benda yang menggusar diri saya kecenderungan dia terhadap bidang sukan. Dia amat handal bermain hoki. Itu tidak dinafikan. Merata tempat dia jelajah diusia muda semata-mata untuk bermain hoki. Cuma saya sentiasa pesan dua benda padanya. Pertama jangan abaikan solat. Kedua jangan abaikan pelajaran.


Satu perkara saya juga bertegas pada adik. Jangan sesekali bercinta di bangku sekolah. Saya tidak menghalang jika dia hendak berkawan. Berkawanlah selagi tidak melaggari syariat. Tapi saya tidak mahu dia hanyut sebab kaum hawa. Saya tidak mahu adik lemah, jatuh dan rebah disebabkan ujian wanita. Saya mahu dia menjaga dirinya sebaik mungkin. Pernah saya berhasrat agar, dia yang akan mengimami masjid di kampung kami kelak. Moga Allah melindungi adik.


Moga Allah masih memberi kekuatan untuk saya mendidik adik membesar menjadi seorang pejuang agama. Saya juga tidak mahu dia dibesarkan dalam kemewahan. Saya mahu dia rasa susah, mahu dia sedar betapa pentingnya tenaga pemuda sepertinya untuk agama kelak.

Wednesday, September 2, 2009

Sedikit pekongsian

perjuangan perlu diteruskan

Alhamdulillah. Tiada kata yang mampu saya ucapkan selain ucapan kesyukuran pada Allah kerana masih memilih saya dan yang lain mengecapi nikmat terbesar Iman dan Islam. Jika ditanya adakah ikhlas saya mengucapkan kata syukur pada yang Esa? sudah tentu saya sendiri tiada skala ukur untuk itu. Kerana apa? Ungkapan mahupun perasaan iklhlas itu sangat halus dan seni. Hanya Allah yang layak menafsirkannya. Jika ada yang mengatakan saya berpura-pura ikhlas, mahupun saya berpura-pura baik, saya redha dan terima dengan lapang dada. Kerana apa? Saya tidak mampu dan tidak bisa menangkis pandangan manusia kerana saya sangat jelas pandangan manusia itu amat berbeza dengan nilaian Allah. Pernah seorang guru menasihati saya dikala saya berbincang dan bersembang dengannya. Katanya:

" Ti, hang buat la apa yang hang rasa benar. Hang jangan takut. Hang kena berani. Bagi pendapat dan bersuaralah. Jangan risau. Rezeki kita ni hak Allah. Hang teruskan, janji apa yang hang buat tu tidak lari dari yang sepatutnya"

Kata-kata itu terkadang selalu bermain dibenak fikiran saya. Betul katanya. Keberanian itu perlu selagi kita rasa betul dan tidak melanggari hukum Islam. Yang penting kita kena jelas dan tahu penderian kita dan thaqafah perlulah ada dan dipertingkatkan yang mana ianya perlu disulami dengan kefahaman yang jelas.

Sudah lama, dan terlalu lama tidak mengupdate blog sendiri. Bukan sahaja tidak mengupdate malah menjenguk pun jarang sekali lantaran masa yang berjalan terlalu pantas.

RAMADHAN KAREEM

Sebak terasa bila mengungkap perkataan Ramadhan. Inilah Ramadhan terakhir saya di UPSI. Mungkin juga Ramadhan terakhir dalam hidup saya. Mungkin selepas ini saya akan pergi tidak akan kembali lagi. Tidak terlambat saya ucapkan Ramadhan Kareem pada semua. Moga bulan yang penuh barakah ini bisa menambatkan hati kita dan menautkan hati kita dengan Sang Pencipta dengan lebih dekat lagi. Ramadhan kali ini menuntut saya mengorbankan banyak hal dan perkara. Namun penawarnya sabar. Benar Ramadhan kali ini mengajar saya untuk lebih bersabar dan tidak merungut. Malunya saya jika saya merungut kerana saya masih lagi diberi peluang untuk menjadi tetamu Ramadhan kai ini. Menguruskan program penghayatan Ramadhan di Bitarasiswa denga rakan setugas, Saudara Akmal B Madzir memberi pengalaman yang baru. Penat memang penat namun itulah kenangan dan pengalaman yang mengajar saya lebih matang. Kepenatan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan. Malah, saya puas bila melihat pancaran kegembiraan mahasiswa-mahasiswa beriftar bersama-sama. Ini salah satu medium merapatkan ukhwah para Mahasiswa UPSI. Terima kasih saudara Akmal dan sahabat-sahabat lain atas kerjasama dan semangat kalian. Moga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa menjadi milik kalian semua. Harapan saya, Ramadhan kali ini menjadi satu catalyst untuk kita membaiki diri kita dan moga kita akan diberi peluang lagi untuk bertemu bulan yang barakah ini. Dan sama-sama kita doakan kita dapat bertemu Laitatul Qadar.

KEMERDEKAAN

Ketentuan Allah, hari kemerdekaan jatuh dalam bulan Ramadhan. Laungan kemerdekaan sudah tentu menusuk jiwa setiap warga Malaysia. Ya, 52 tahun kita merdeka. Dan ini merupakan umur ibu saya ( sangat merindui beliau). Namun, ingin saya lontarkan adakah kita benar-benar merdeka secara totalnya? Bukan sahaja penjajahan yang fizikal tetapi bebas dari penjajahan minda? Adakah minda kita sepenuhnya merdeka? Merdeka pada hemat saya bila mana kita mampu membina acuan sendiri tanpa mengimplimentasikan acuan orang lain. Kita boleh menjadikan orang lain sebagai contoh, namun sesuatu itu perlu dibina melalui kosong sehingga ianya berkembang kukuh mengikut acuan dan idealisma kita. Dan sudah tentu pengalaman orang lain kita boleh jadikan guide. Itu tidak salah. Saya sedih melihat jiwa-jiwa remaja pada hari ini yang konon-kononnya bebas merdeka. "Em, bebas sungguh dia". Sehinggakan perkataan "globalisasi" itu di global kan sepenuhnya. Memang tiada sempadan langsung. Lelaki boleh memasuki bilik/rumah perempuan sesuka hati. Alasan? Adakah kerana kita bebas merdeka? Atau dunia tanpa sempadan? Jika sudah sampai seru, rasa layak nak bina rumahtangga, tidak perlu tunggu. Langsungkan walimah. Jika alasan masih belajar, tiada berduit. Jawapan saya mudah. Tidak perlu majlis besar-besaran. Hebahan yang penting bukan kegahan majlis. Buat sekadar termampu. Yang penting akad. Bak kata mak saya, kita ni orang susah, jadi buat cara orang susah. Jika alasan keluarga tidak benarkan. Jawapan saya bincang baik-baik. Mak Ayah pasti terima kalau cara kita betul. Bak kata mak saya, kahwin itu lebih penting dari buat kerja tidak tentu hala. Jika kata belum bersedia. Jawapan saya lagi senang, tak payah fikir. Habis cerita. Ini baru menyenuh batasan-batasan pergaulan. Namun harapan saya, sama-sama kita sedar akan erti sebuah kemerdekaan.

KAMPUNG

Kerinduan di kampung hanya Allah yang tahu. Kadang-kadang sengaja tidak menelefon ayah/mak. Pernah satu malam, selepas terawih sambil mengemas tempat makan di bitara siswa, saya menelefon ke kampung. Ayat pertama mak:
"Allahuakbar, panjang umur ja. Ayah baru sebut-sebut nama ja tadi"
Istighfar saya. Bukan apa, kata-kata mak itu doa bagi saya. Mak mendoakan saya panjang umur. Biarlah panjangnya umur saya disulami ketaatan pada Allah. Bukannya panjangnya umur dipenuhi dosa dan maksiat. Benar, jika hebat bagaimana pun kita perlu sedar kita lahir dari rahim seorang ibu. Ibu adalah tempat dimana boleh menyejukkan mana-mana hati dan menenangkan mana-mana jiwa. Pesanan buat kaum hawa, jika anda mempunyai suami kelak jangan sesekali halang suami anda untuk pulang menjenguk ibunya. Ibu merupakan insan yang patutnya yang pertama dalam hati suami bukan isteri. Hanya seorang ibu mampu melembutkan hati anaknya, bukan seorang isteri. Itu pendapat saya. Lahirnya seorang pemimpin yang hebat sekalipun dari rahim seorang ibu.

BICARA WANITA

Sedar tidak sedar, minggu ini merupakan kali ke-6 Bicara Wanita anjuran Pusat Islam dan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah berlangsung. Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan. Sungguh Mahasiswi UPSI sudah mula sedar akan kepentingan ilmu. Sudah 5 topik sudah di sentuh dan dikupas oleh penceramah yang berlainan. Antara topik yang telah disentuh ialah pengurusan rumahtagga, tafsir, aqidah, feqah dan undang-undang keluarga Islam (pertunangan). InsyaAllah minggu ini akan disentuh mengenai undang-undang keluarga Islam sii ke-2 (perkahwinan). Pernah seorang teman saya berkata yang pengisian yang dibuat lebih mendalam dari kursus kahwin. Ya itu yang saya mahukan. Saya tidak menyeru mana-mana kaum hawa untuk segera bekahwin, tapi jika itu tindakannya Alhamdulillah. Cuma saya menyeru setiap kaum wanita prepare untuk menghadapi apa jua keadaan sekalipun. Cuma saya nak setiap kaum wanita itu mengisi dada mereka dengan ilmu. Bukan sahaja mengenai rumahtangga, malah lebih dari itu. Kaum wanita kena sedar, persediaan perlu dibuat awal. Jika boleh, sebaiknya sebelum mempunyai calon lagi. Dan melalui program ini, saya sentiasa meminta penceramah menyelitkan isu semasa supaya kaum wanita itu alert dan sentiasa menamkan dalam jiwanya satu perasaan ingin tahu dan cintakan ilmu. Kaum wanita juga perlu tahu yang kita adalah orang kedua yang akan mentadbir keluarga dikala pemimpin keluarga tiada di rumah. Segala-galanya kita perlu tahu dari segi ibadah, cara medidik anak-anak, cara membaca Al-Quran malah segala-galanya sebab anak-anak akan lebih rapat dengan ibunya. Jika seorang ibu itu pincang, maka hasilnya akan lahirnya pemimpin yang pincang. Anak-anak kita itu bakal menerajui negara kelak. Memang iman itu tidak dapat diwarisi, namun usaha itu perlu ada. Pernah seorang kawan memarahi saya kerana tidak lagi mengamil kursus kahwin. Katanya, ambil kursus tidak semestinya nak berkahwin. Itu ilmu. Saya setuju pandangan itu. Namun bagi saya ilmu boleh digarapkan dimana-mana sahaja. Jawapan saya pada sahabat saya mudah, saya tidak ada kesempatan masa lagi. Pada muslimat-muslimat yang sering bertanya saya bagaimana hendak medapat suami yang baik. Jawapan saya masih sama, banyakkan berdoa, penuhkan dada dengan ilmu dan yang penting jadilah orang yang sebaik mungkin sebab kamu pasti dapat orang selayaknya untuk kamu. Yang penting sama-samalah kita pasakkan apa sekalipun yang kita buat kerana Allah dan agamaNYA.

Wallahua'alam. Perkongsian yang panjang lebar saya kira. 22 tahun yang penuh dengan persoalan dan ujian. Namun, moga ketenangan dan redha Allah yang menjadi pendamping. Bagi saya dalam hidup ini perlu sesuaikan dengan keadaan. Hidup ini perlu sentiasa menjadi 'pemberi' yang terbaik. Jangan kita sentiasa mahu jadi 'penerima'. Sebab kenapa? Penerima akan kecewa jika tidak dapat apa yang diharapkan. Pemberi akan sentiasa puas apa yang diberikan, jika ada balasan itu dikira bonus yang akan menambahkan kegembiraan.