Wednesday, September 2, 2009

Sedikit pekongsian

perjuangan perlu diteruskan

Alhamdulillah. Tiada kata yang mampu saya ucapkan selain ucapan kesyukuran pada Allah kerana masih memilih saya dan yang lain mengecapi nikmat terbesar Iman dan Islam. Jika ditanya adakah ikhlas saya mengucapkan kata syukur pada yang Esa? sudah tentu saya sendiri tiada skala ukur untuk itu. Kerana apa? Ungkapan mahupun perasaan iklhlas itu sangat halus dan seni. Hanya Allah yang layak menafsirkannya. Jika ada yang mengatakan saya berpura-pura ikhlas, mahupun saya berpura-pura baik, saya redha dan terima dengan lapang dada. Kerana apa? Saya tidak mampu dan tidak bisa menangkis pandangan manusia kerana saya sangat jelas pandangan manusia itu amat berbeza dengan nilaian Allah. Pernah seorang guru menasihati saya dikala saya berbincang dan bersembang dengannya. Katanya:

" Ti, hang buat la apa yang hang rasa benar. Hang jangan takut. Hang kena berani. Bagi pendapat dan bersuaralah. Jangan risau. Rezeki kita ni hak Allah. Hang teruskan, janji apa yang hang buat tu tidak lari dari yang sepatutnya"

Kata-kata itu terkadang selalu bermain dibenak fikiran saya. Betul katanya. Keberanian itu perlu selagi kita rasa betul dan tidak melanggari hukum Islam. Yang penting kita kena jelas dan tahu penderian kita dan thaqafah perlulah ada dan dipertingkatkan yang mana ianya perlu disulami dengan kefahaman yang jelas.

Sudah lama, dan terlalu lama tidak mengupdate blog sendiri. Bukan sahaja tidak mengupdate malah menjenguk pun jarang sekali lantaran masa yang berjalan terlalu pantas.

RAMADHAN KAREEM

Sebak terasa bila mengungkap perkataan Ramadhan. Inilah Ramadhan terakhir saya di UPSI. Mungkin juga Ramadhan terakhir dalam hidup saya. Mungkin selepas ini saya akan pergi tidak akan kembali lagi. Tidak terlambat saya ucapkan Ramadhan Kareem pada semua. Moga bulan yang penuh barakah ini bisa menambatkan hati kita dan menautkan hati kita dengan Sang Pencipta dengan lebih dekat lagi. Ramadhan kali ini menuntut saya mengorbankan banyak hal dan perkara. Namun penawarnya sabar. Benar Ramadhan kali ini mengajar saya untuk lebih bersabar dan tidak merungut. Malunya saya jika saya merungut kerana saya masih lagi diberi peluang untuk menjadi tetamu Ramadhan kai ini. Menguruskan program penghayatan Ramadhan di Bitarasiswa denga rakan setugas, Saudara Akmal B Madzir memberi pengalaman yang baru. Penat memang penat namun itulah kenangan dan pengalaman yang mengajar saya lebih matang. Kepenatan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan. Malah, saya puas bila melihat pancaran kegembiraan mahasiswa-mahasiswa beriftar bersama-sama. Ini salah satu medium merapatkan ukhwah para Mahasiswa UPSI. Terima kasih saudara Akmal dan sahabat-sahabat lain atas kerjasama dan semangat kalian. Moga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa menjadi milik kalian semua. Harapan saya, Ramadhan kali ini menjadi satu catalyst untuk kita membaiki diri kita dan moga kita akan diberi peluang lagi untuk bertemu bulan yang barakah ini. Dan sama-sama kita doakan kita dapat bertemu Laitatul Qadar.

KEMERDEKAAN

Ketentuan Allah, hari kemerdekaan jatuh dalam bulan Ramadhan. Laungan kemerdekaan sudah tentu menusuk jiwa setiap warga Malaysia. Ya, 52 tahun kita merdeka. Dan ini merupakan umur ibu saya ( sangat merindui beliau). Namun, ingin saya lontarkan adakah kita benar-benar merdeka secara totalnya? Bukan sahaja penjajahan yang fizikal tetapi bebas dari penjajahan minda? Adakah minda kita sepenuhnya merdeka? Merdeka pada hemat saya bila mana kita mampu membina acuan sendiri tanpa mengimplimentasikan acuan orang lain. Kita boleh menjadikan orang lain sebagai contoh, namun sesuatu itu perlu dibina melalui kosong sehingga ianya berkembang kukuh mengikut acuan dan idealisma kita. Dan sudah tentu pengalaman orang lain kita boleh jadikan guide. Itu tidak salah. Saya sedih melihat jiwa-jiwa remaja pada hari ini yang konon-kononnya bebas merdeka. "Em, bebas sungguh dia". Sehinggakan perkataan "globalisasi" itu di global kan sepenuhnya. Memang tiada sempadan langsung. Lelaki boleh memasuki bilik/rumah perempuan sesuka hati. Alasan? Adakah kerana kita bebas merdeka? Atau dunia tanpa sempadan? Jika sudah sampai seru, rasa layak nak bina rumahtangga, tidak perlu tunggu. Langsungkan walimah. Jika alasan masih belajar, tiada berduit. Jawapan saya mudah. Tidak perlu majlis besar-besaran. Hebahan yang penting bukan kegahan majlis. Buat sekadar termampu. Yang penting akad. Bak kata mak saya, kita ni orang susah, jadi buat cara orang susah. Jika alasan keluarga tidak benarkan. Jawapan saya bincang baik-baik. Mak Ayah pasti terima kalau cara kita betul. Bak kata mak saya, kahwin itu lebih penting dari buat kerja tidak tentu hala. Jika kata belum bersedia. Jawapan saya lagi senang, tak payah fikir. Habis cerita. Ini baru menyenuh batasan-batasan pergaulan. Namun harapan saya, sama-sama kita sedar akan erti sebuah kemerdekaan.

KAMPUNG

Kerinduan di kampung hanya Allah yang tahu. Kadang-kadang sengaja tidak menelefon ayah/mak. Pernah satu malam, selepas terawih sambil mengemas tempat makan di bitara siswa, saya menelefon ke kampung. Ayat pertama mak:
"Allahuakbar, panjang umur ja. Ayah baru sebut-sebut nama ja tadi"
Istighfar saya. Bukan apa, kata-kata mak itu doa bagi saya. Mak mendoakan saya panjang umur. Biarlah panjangnya umur saya disulami ketaatan pada Allah. Bukannya panjangnya umur dipenuhi dosa dan maksiat. Benar, jika hebat bagaimana pun kita perlu sedar kita lahir dari rahim seorang ibu. Ibu adalah tempat dimana boleh menyejukkan mana-mana hati dan menenangkan mana-mana jiwa. Pesanan buat kaum hawa, jika anda mempunyai suami kelak jangan sesekali halang suami anda untuk pulang menjenguk ibunya. Ibu merupakan insan yang patutnya yang pertama dalam hati suami bukan isteri. Hanya seorang ibu mampu melembutkan hati anaknya, bukan seorang isteri. Itu pendapat saya. Lahirnya seorang pemimpin yang hebat sekalipun dari rahim seorang ibu.

BICARA WANITA

Sedar tidak sedar, minggu ini merupakan kali ke-6 Bicara Wanita anjuran Pusat Islam dan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah berlangsung. Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan. Sungguh Mahasiswi UPSI sudah mula sedar akan kepentingan ilmu. Sudah 5 topik sudah di sentuh dan dikupas oleh penceramah yang berlainan. Antara topik yang telah disentuh ialah pengurusan rumahtagga, tafsir, aqidah, feqah dan undang-undang keluarga Islam (pertunangan). InsyaAllah minggu ini akan disentuh mengenai undang-undang keluarga Islam sii ke-2 (perkahwinan). Pernah seorang teman saya berkata yang pengisian yang dibuat lebih mendalam dari kursus kahwin. Ya itu yang saya mahukan. Saya tidak menyeru mana-mana kaum hawa untuk segera bekahwin, tapi jika itu tindakannya Alhamdulillah. Cuma saya menyeru setiap kaum wanita prepare untuk menghadapi apa jua keadaan sekalipun. Cuma saya nak setiap kaum wanita itu mengisi dada mereka dengan ilmu. Bukan sahaja mengenai rumahtangga, malah lebih dari itu. Kaum wanita kena sedar, persediaan perlu dibuat awal. Jika boleh, sebaiknya sebelum mempunyai calon lagi. Dan melalui program ini, saya sentiasa meminta penceramah menyelitkan isu semasa supaya kaum wanita itu alert dan sentiasa menamkan dalam jiwanya satu perasaan ingin tahu dan cintakan ilmu. Kaum wanita juga perlu tahu yang kita adalah orang kedua yang akan mentadbir keluarga dikala pemimpin keluarga tiada di rumah. Segala-galanya kita perlu tahu dari segi ibadah, cara medidik anak-anak, cara membaca Al-Quran malah segala-galanya sebab anak-anak akan lebih rapat dengan ibunya. Jika seorang ibu itu pincang, maka hasilnya akan lahirnya pemimpin yang pincang. Anak-anak kita itu bakal menerajui negara kelak. Memang iman itu tidak dapat diwarisi, namun usaha itu perlu ada. Pernah seorang kawan memarahi saya kerana tidak lagi mengamil kursus kahwin. Katanya, ambil kursus tidak semestinya nak berkahwin. Itu ilmu. Saya setuju pandangan itu. Namun bagi saya ilmu boleh digarapkan dimana-mana sahaja. Jawapan saya pada sahabat saya mudah, saya tidak ada kesempatan masa lagi. Pada muslimat-muslimat yang sering bertanya saya bagaimana hendak medapat suami yang baik. Jawapan saya masih sama, banyakkan berdoa, penuhkan dada dengan ilmu dan yang penting jadilah orang yang sebaik mungkin sebab kamu pasti dapat orang selayaknya untuk kamu. Yang penting sama-samalah kita pasakkan apa sekalipun yang kita buat kerana Allah dan agamaNYA.

Wallahua'alam. Perkongsian yang panjang lebar saya kira. 22 tahun yang penuh dengan persoalan dan ujian. Namun, moga ketenangan dan redha Allah yang menjadi pendamping. Bagi saya dalam hidup ini perlu sesuaikan dengan keadaan. Hidup ini perlu sentiasa menjadi 'pemberi' yang terbaik. Jangan kita sentiasa mahu jadi 'penerima'. Sebab kenapa? Penerima akan kecewa jika tidak dapat apa yang diharapkan. Pemberi akan sentiasa puas apa yang diberikan, jika ada balasan itu dikira bonus yang akan menambahkan kegembiraan.

No comments: