Sunday, September 6, 2009

Memimpin Seorang Bakal Pemimpin


Usia saya sudah mencecah 22 tahun. Jika ketika ini ada sesetengah sahabat-sahabat telah ada master plan untuk hidup mereka berlainan dengan saya. Ramai kawan-kawan saya terutamanya siswi merancang selepas keluar UPSI merancang untuk bertunang, berkahwin dan sebagainya. Pernah seketika dulu diusia awal 19-20 tahun saya merancang begitu. Namun, bila mula mencecah usia 22 tahun semua itu berubah. Ada sesuatu yang perlu saya laksanakan sebelum saya merancang membina bait dakwah. Pada rakan-rakan, saya doakan teruskan perancangan murni anda. InsyaAllah saya akan menyusul tapi bukan waktu terdekat ini. Saya masih belum mampu untuk berfikir tentang 'agenda' dan 'tanggungjawab' besar itu buat masa ini.


Kehidupan saya di UPSI penuh dengan ujian dan pengalaman-pengalaman yang amat sukar saya hendak lupakan. Cuma satu benda yang saya pegang dan saya belajar dari mak. Bersabar. Bersabar dan Bersabar. Tidak kira dengan sahabat atau lawan. Suatu perkara sukar bilamana kita terpaksa berkomunikasi dan berhubung dengan manusia samada sahabat satu fikrah mahupun tidak. Cuma usai saya tamat UPSI dan praktikum, satu hajat yang sudah lama saya rancang dan simpan tercapai. Saya mahu menjadi tetamu Allah di Tanah Suci. Hajat ini pernah saya sampaikan pada mak suatu masa dahulu, namun mak minta saya tangguhkan dulu. Dan kali ini saya ingin hajat saya itu Allah makbulkan. Dan moga mak juga izinkan saya untuk saya menziarahi Tanah Suci kali ini. Tidak semua orang akan terpilih, namun kali ini saya ingin sekali Allah memilih saya. Terima kasih pada seorang junior saya yang ingin menjadi peneman saya nanti walaupun saya sering ingatkan dia bahawa ini cuma perancangan yang mana Allah jua yang menentukannya. Moga Allah memberkati mu dik.


Tanggungjawab


Kini, adik saya Muhammad Eizlan Amir sudah mencecah 13 tahun. Satu fasa yang amat sukar untuk dikawal. Dan tanggungjawab mendidik adik telah ditugaskan pada saya. Saya kadang-kadang hilang punca untuk mencari metod yang sesuai untuk membina diri adik supaya menjadi Muslimin yang hebat. Bukan sahaja soleh malah pemimpin yang hebat. Berlainan dengan saya dimana saya dibentuk dan dijaga oleh 3 orang abang yang sentiasa 'guide' saya. Sekarang sampai giliran saya untuk menggalas tanggungjawab itu. Adik seorang anak yang baik. Dia amat rapat dengan ayah. Anak bongsu selalu begitu. Jika saya dibesarkan penuh kelembutan, lain caranya saya mendidik adik. Saya cukup tegas dengan adik. Adik akan berhati-hati bila melakukan sesuatu. Malah bajunya sekalipun dia takut untuk saya basuhkan. Jika dia hendak makan dia akan sedaya upaya masak sendiri. Satu benda yang saya amat tegas dengan adik bab solat. Saya tidak mahu dia melalikan solatnya. Sebab jika dia mahu jadi pemimpin, solat dia perlu utamakan. Kadang-kadang saya tahu jiwanya memberontak bila dimarahi saya, namun saya buat begitu supaya dia tidak ikutkan hatinya. Pernah beberapa kali saya marah dia sebab dia leka bermain sehingga dia lewat solat. Saya akan cari dia sampai dia balik solat. Baru dia saya benarkan jumpa kawannya. Saya agak terbuka dengan adik, tapi bab solat tiada kompromi atau kelonggaran yang saya benarkan pada adik.


Dan sekarang, umurnya makin meninggkat dewasa. Sudah tentu cara saya mendekati adik sudah berubah. Jarang sekali saya memarahi dia. Kini saya dan adik lebih senang 'slow talk'. Dia pun ada bertanyakan pendapat dan pandangan saya. Tiada lagi perasaan takut dimarahi saya. Cuma, sikap tegas saya padanya masih tidak berubah. Itu adik amat memahami. Ada benda saya berlembut dan ada benda yang saya akan tegas.


Saya pun mula memahami sikap dia. Saya tidak mahu adik dibesarkan dalam keadaan penuh tekanan. Pernah saya ingin menghantarnya ke SMKA. Tapi, akhirnya saya memberi pilihan untuk dia memilih sesuatu yang dia sukai. Saya tahu, ada jiwa kepimpinan dalam jiwanya. Dia sendiri pernah menjadi kepimpinan pelajar disekolah. Namun, satu benda yang menggusar diri saya kecenderungan dia terhadap bidang sukan. Dia amat handal bermain hoki. Itu tidak dinafikan. Merata tempat dia jelajah diusia muda semata-mata untuk bermain hoki. Cuma saya sentiasa pesan dua benda padanya. Pertama jangan abaikan solat. Kedua jangan abaikan pelajaran.


Satu perkara saya juga bertegas pada adik. Jangan sesekali bercinta di bangku sekolah. Saya tidak menghalang jika dia hendak berkawan. Berkawanlah selagi tidak melaggari syariat. Tapi saya tidak mahu dia hanyut sebab kaum hawa. Saya tidak mahu adik lemah, jatuh dan rebah disebabkan ujian wanita. Saya mahu dia menjaga dirinya sebaik mungkin. Pernah saya berhasrat agar, dia yang akan mengimami masjid di kampung kami kelak. Moga Allah melindungi adik.


Moga Allah masih memberi kekuatan untuk saya mendidik adik membesar menjadi seorang pejuang agama. Saya juga tidak mahu dia dibesarkan dalam kemewahan. Saya mahu dia rasa susah, mahu dia sedar betapa pentingnya tenaga pemuda sepertinya untuk agama kelak.

No comments: