Hujung minggu baru-baru ini, saya merancang hendak pulang ke Puchong, rumah abang long saya. Hajatnya hendak berbuka dan berterawih disana. Tetapi perancangan tinggal perancangan. Kakak serumah saya sudah memaklumkan pada saya ada tadarus anak-anak di masjid dan meminta saya menjadi salah seorang pengajarnya. Rasa malas sangat waktu tu untuk pergi. Tapi apakan daya, tiada yang dapat memandu. Jadi terpaksa la saya gagahkan diri untuk turut serta.
Dek kerana kurang bersemangat. Pagi tu, saya hanya mengenakan jubah hitam dan memakai kain serban sebagai jilbab. Sebab itulah pakaian yang paling kemas dan sudah siap tergantung. Rasa amat malas untuk menyediakan baju yang masih kemas dalam lipatan.
Sesampai di masjid, kakak serumah saya meminta saya mengajar anak-anak yang saya kira dalam usia 12-18 tahun, anak-anak lelaki kesemuanya. Saya tidak tahu bagaimana penampilan saya sebagai guru pada hari itu. Yang pastinya saya cuba tenangkan diri dan mengukir senyuman sebanyak yang mampu. Kelihatan anak-anak lelaki ini amat malu dengan saya. Hairan saya. Mungkin mereka boleh mengagak saya ini seorang 'ustazah muda'.
"Adik-adik cepat datang sini. Jangan malu-malu" Panggil saya.
Sebagai seorang bakal guru tentu saya sudah biasa dengan anak-anak seusia ini. Tidak lama kemudian barulah mereka bergerak perlahan-lahan ke arah saya. Pandangan mereka ditundukkan. Alahai, pemalunya anak-anak ini dalam hati saya berbisik. Sebelum mulakan kelas bacaan Al-Quran, saya sempat taaruf nama mereka. Iqmal (15 tahun), Aminuddin(17 tahun) , Faris (12 tahun) dan seorang lagi saya tidak dapat menginati namanya sebab terlalu susah untuk menyebutnya.
Entah kenapa, selepas sahaja taaruf dengan anak-anak itu semangat saya datang kembali. Rasa seronok sangat melihat wajah-wajah anak-anak ini. Lagi menyejukkan hati apabila mendengar ayat-ayat suci yang dialunkan oleh mereka ini. Alhamdulillah. Bacaan mereka lancar. Tajwid mereka juga boleh dikatakan agak baik.
MasyaAllah itu sahaja yang terungkap dalam hati saya. Jauh disudut hati saya, saya mendoakan mereka terus dipancarkan hidayah oleh Allah supaya terpilih sebagai mata rantai perjuangan pada masa hadapan kelak. Tidak berapa lam kemudian, mereka makin selesa dengan saya. Walaupun kelihatan masih ada perasaan malu.
Usai kelas tadarus itu, saya ambil sedikit masa menceritakan tentang Al-Quran. Saya kaitkan hati manusia itu dengan ayat-ayat Al-Quran. Alhamdulillah, kelihatan mereka agak bersemangat mendengar pengisian tersebut. Moga perkongsian tersebut mereka akan jadikan panduan sehingga mereka besar kelak.
(Surah Al-Baqarah : 1-3)
Itulah perancangan Allah. Allah merancang saya untuk saya bertemu dengan anak-anak ini walaupun pada mulanya saya agak malas untuk datang. Perasaan malas, suka, benci, sayang, marah. rindu, cemburu dan lain-lain itu semua adalah fitrah dalam diri makhluk Allah yang bernama manusia. Terpulang pada kita samada hendak menuruti fitrah tersebut atau mendidiknya...
Moga lebih ramai generasi-generasi muda, kita dapat bentuk dengan Al-Quran.
Salam Ramadhan 1431H saya ucapkan pada semua. Kini Ramadhan telah memasuki fasa ke dua..Moga kita tidak digolongkan ke dalam golongan orang-orang yang rugi..Sama-sama kita doakan bertemu Lailatul Qadar..
p/s: Di Ramadhan kali ini, saya memohon moga Allah anugerahkan kepada saya sekurang-kurangnya seorang Hafiz dan Hafizah dari darah daging saya sendiri suatu hari kelak...Cukup nama saya "Hafiza" sebagai pemangkin semangat untuk saya terus berdoa..(^_^)...Orang kata doa Bonda ini Allah mudah nak perkenan * *
No comments:
Post a Comment